Utama Berita Automotif KPDN Johor siasat kes isi RON95 dalam tong melebihi had

KPDN Johor siasat kes isi RON95 dalam tong melebihi had

18

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sedang menyiasat kes pengisian petrol RON95 bersubsidi ke dalam tong plastik melebihi had yang dibenarkan di sebuah stesen minyak sekitar Skudai, pada 21 Mac lalu.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata siasatan dijalankan susulan satu video tular di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut.

Beliau berkata pemeriksaan telah dilakukan ke atas premis berkenaan, termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan.

“Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95, iaitu satu ke dalam tangki kenderaan dan satu lagi ke dalam tong plastik di bahagian but dengan kuantiti melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

Beliau berkata pasukan penguatkuasa turut menjalankan siasatan lanjut bersama pihak pengurusan stesen minyak itu serta memberi peringatan agar pematuhan peraturan dipertingkat bagi mengelakkan kejadian berulang.

Lilis Saslinda berkata pihaknya juga akan mengambil tindakan susulan dengan mengesan pemilik kenderaan berkenaan untuk dipanggil bagi siasatan lanjut.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan denda tidak lelebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat, katanya denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM5 juta.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN (e-aduan@kpdn.gov.my), talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here