
Nissan Thailand memperkenalkan Nissan Kicks e-Power 2026 bersempena dengan Pameran Motor Antarabangsa Bangkok ke 47.
SUV kompak ini tampil dengan reka bentuk menyerlah dan ikonik serta dilengkapi dengan teknologi bantuan pemandu termaju ProPILOT yang buat pertama kalinya ditawarkan untuk pasaran Thailand.
Model ini disasarkan kepada generasi muda yang aktif dengan gaya hidup bandar.
Toshihiro Fujiki selaku Presiden Nissan Thailand dan ASEAN menyatakan bahawa pelancaran model e-Power keempat ini merupakan pencapaian penting kerana ia direka dan dihasilkan sepenuhnya di Thailand.
Ini menunjukkan komitmen Nissan terhadap pengilangan tempatan dan fokus terhadap pelanggan di Thailand serta ASEAN.
Model ini juga mempunyai perkaitan global yang menarik di mana ia dikenali sebagai Kait bagi pasaran Amerika Latin, yang juga merupakan versi facelift bagi model Kicks di rantau tersebut.
Reka Bentuk Luaran yang Ikonik dan Agresif

Dari sudut estetik Nissan Kicks e-Power baharu membawakan bahasa reka bentuk moden yang menggabungkan elemen tajam dan tangkas dengan imej premium.
Bahagian hadapan didominasi oleh gril V-Motion ikonik Nissan dalam bentuk tiga dimensi yang lebih menonjol untuk memperkukuhkan kehadiran di jalan raya.
Sistem pencahayaan turut dikemas kini dengan lampu hadapan upper beam yang nipis untuk penglihatan lebih baik dan keyakinan pemanduan.
Ciri unik lain termasuk Lampu Siang (DRL) jenis three-arrow yang memberikan imej kontemporari yang tajam.
Bahagian bawah bampar yang nampak sasa, fender yang lebar dan bucu bonet yang tinggi membuatkan kereta ini nampak lebih tegap dan kukuh.
Di bahagian belakang reka bentuk kelihatan lebih kemas dengan lampu berbentuk heksagon yang memberikan identiti cahaya yang jelas pada waktu malam.
Secara dimensi, kenderaan Kicks mempunyai panjang 4,300 mm, lebar 1,760 mm dan tinggi 1,610 mm dengan jarak roda 2,620 mm.

Ruang Dalaman Moden dan Berteknologi Tinggi
Kabin SUV ini memfokuskan kepada kemudahan pemandu dengan skrin maklumat resolusi tinggi bersaiz 12.3 inci.
Ia dipadankan dengan meter digital TFT 7 inci yang memaparkan angka kelajuan digital serta maklumat penting kenderaan.
Walaupun mempunyai kaitan dengan Kait, reka bentuk corong penyaman udara Kicks Thailand tampil berbeza.
Sistem NissanConnect membolehkan sambungan lancar melalui Apple CarPlay wayarles dan Android Auto wayarles selain sokongan USB serta Bluetooth.

Konsol hadapan dan tengah serta panel pintu telah direka semula dengan kemasan yang lebih premium termasuk stereng balutan kulit sintetik.
Kerusi Zero Gravity mengurangkan keletihan dalam perjalanan jauh atau kesesakan manakala kulit sintetik anti panas memastikan keselesaan berpanjangan dalam iklim panas.
Pemandu mendapat manfaat kerusi kuasa boleh laras 6-arah. Penumpang belakang pula menikmati keselesaan dengan sudut penyandar yang ditambah baik dan ruang lebih luas.
Keselesaan ini dipertingkatkan lagi dengan penyandar kepala lebih besar serta tempat letak tangan tengah dengan dua pemegang cawan.
Cermin Pandang Belakang Pintar (IRVM) memberikan pandangan belakang yang jelas walaupun terhalang oleh penumpang atau kargo.
Ruang but menawarkan kapasiti sebanyak 423 liter.

Rangkaian Kuasa e-Power
Nissan Kicks e-Power baharu dikuasakan teknologi e-Power yang menggabungkan motor elektrik dan inverter dalam satu unit kompak.
Sistem penjanaan kuasa elektrik menggunakan motor elektrik jenis AC3 Synchronous Motor (EM47) yang menghasilkan 136 ps (100 kW) dan tork 280Nm
Enjin petrol HR12DE bersesaran 1,198 cc 3 silinder CVTC digunakan untuk menjana tenaga elektrik, serta dilengkapi sistem suntikan elektronik Multi-point (ECCS) 32 bit.
Enjin penjana ini menghasilkan kuasa 82 ps (60 kW) pada 6,000 rpm dan tork 103Nm pada 4,800 rpm.
Pemandu dapat merasai sensasi pemanduan kenderaan elektrik sepenuhnya yang senyap tanpa perlu melakukan pengecasan luaran.
Sistem ini turut dilengkapi ciri e-Pedal Step yang membolehkan pemandu memperlahankan kereta hanya dengan mengangkat kaki daripada pedal.
Ciri ini memudahkan pemanduan dalam kesesakan, menuruni bukit atau memasuki selekoh.
Pada masa sama, ia menjana semula tenaga elektrik ke dalam bateri semasa proses nyahpecutan.

Sistem Keselamatan ProPILOT
Satu ciri utama yang diperkenalkan buat kali pertama di pasaran Thailand ialah ProPILOT.
Sistem pintar ini menggabungkan Bantuan Kekal Lorong (LKA) dengan Kawalan Jelajah Pintar (ICC) serta fungsi Stop and Go.
Sistem ini membantu mengekalkan kereta di tengah lorong dan menjaga jarak selamat dengan kenderaan di hadapan secara automatik serta mengurangkan keletihan semasa perjalanan jauh.
Selain itu Kicks dilengkapi dengan Nissan 360˚ Safety Shield yang merangkumi:
- Leading Car Departure Notification (LCDN)
- Intelligent Forward Collision Warning (IFCW) yang memantau dua kenderaan di hadapan
- Intelligent Emergency Braking dengan pengesanan pejalan kaki (IEB)
- Blind Spot Warning (BSW) dan Blind Spot Intervention (BSI)
- Lane Departure Warning (LDW) dan Lane Departure Prevention (LDP)
- Rear Automatic Emergency Braking (RAEB)
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
- Intelligent Around View Monitor (IAVM) dengan Moving Objective Detection (MOD)
- Tire Pressure Monitoring System (TPMS)
- High Beam Assist (HBA) dan Driver Attention Alert (DAA)
Harga dan Varian
Nissan Kicks e-Power ditawarkan dalam tiga gred iaitu V, VL dan SV dengan harga rasmi seperti berikut:
- Gred V: 839,000 baht (RM101,183)
- Gred VL: 899,000 baht (RM108,419)
- Gred SV: 929,000 baht (RM112,037)
Sempena pelancaran, Nissan menawarkan harga eksklusif untuk tempahan bermula 23 Mac sehingga 30 April 2026:
- Gred V: 789,900 baht (RM95,262)
- Gred VL: 849,900 baht (RM102,498)
- Gred SV: 899,900 baht (RM108,528)
Spesifikasi dan Data Teknikal Nissan Kicks e-Power 2026 Thailand
- Enjin penjana: 1.2 liter DOHC 12 injap 3 silinder (HR12DE)
- Motor elektrik: EM47 AC3 Synchronous Motor
- Kuasa motor elektrik: 136 ps (100 kW)
- Tork motor elektrik: 280Nm
- Kuasa enjin penjana: 82 ps (60 kW)
- Tork enjin penjana: 103Nm
- Transmisi: Single Speed Gear Reduction
- Kapasiti bateri: 2.06 kWj litium ion
- Standard emisi: EURO 6
- Dimensi: 4,300 mm (panjang) x 1,760 mm (lebar) x 1,610 mm (tinggi)
- Jarak roda: 2,620 mm
- Jarak kelegaan tanah: 175 mm
- Jejari pusingan: 5.1 meter
- Berat kosong: 1,353 kg (V), 1,358 kg (VL), 1,360 kg (SV)
- Sistem brek: Cakera berventilasi (Hadapan) dan Cakera padu (Belakang)
- Saiz tayar: 205/55 R17
- Tangki bahan api: 41 liter
- Jaminan kenderaan: 5 tahun atau 150,000 km
- Jaminan sistem e-Power: 5 tahun atau 150,000 km
- Jaminan bateri: 10 tahun tanpa had perbatuan
Kredit foto: Nissan
Nissan Kait Brazil





























