
Majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan penyelarasan subsidi RON95 apabila sekitar 90 peratus pengguna di negara ini hanya menggunakan kira-kira 100 liter bahan api itu setiap bulan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah penyelarasan had kelayakan Budi95 daripada 300 kepada 200 liter sebulan merupakan pendekatan seimbang bagi memastikan bantuan terus dinikmati golongan sasar tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.
Jelas beliau, dunia kini berdepan tekanan global yang semakin mencabar termasuk lonjakan harga minyak mentah melepasi paras USD100 setong yang memberi kesan besar kepada banyak negara.
“Di Hong Kong, harga petrol mencecah sekitar RM14 seliter manakala Singapura pula, sekitar RM10 seliter. Inilah realiti yang sedang dihadapi dunia hari ini.
“Walaupun harga pasaran sebenar RON95 telah mencecah sekitar RM3.87 seliter, kerajaan mengekalkan harga subsidi pada RM1.99 seliter. Ini bukan keputusan mudah, tetapi inilah bukti kepimpinan yang berani membuat pilihan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, kos subsidi yang kini mencecah sekitar RM4 bilion sebulan merupakan amanah besar yang perlu diurus dengan penuh tanggungjawab oleh kerajaan.
Sehubungan itu katanya, pelaksanaan had 200 liter sebulan di bawah Budi95 dilihat tidak membebankan majoriti rakyat memandangkan corak penggunaan semasa menunjukkan kebanyakan pengguna berada di bawah paras tersebut.
Dalam masa sama, kerajaan turut memastikan kelangsungan golongan tertentu termasuk pemandu e-hailing apabila kuota khas sebanyak 800 liter sebulan dikekalkan.
Saifuddin turut menyeru rakyat agar menggunakan subsidi secara berhemah dengan mengelakkan pembaziran serta merancang perjalanan dengan lebih baik.





























