
Medan persaingan automotif tanah air bagi penutup suku pertama (Q1) 2026 berakhir dengan satu kejutan besar.
Meskipun Proton Saga memulakan tahun ini dengan angka luar biasa, data rasmi setakat 31 Mac 2026 menceritakan skrip yang berbeza.
Takhta nombor satu berjaya dirampas oleh Perodua Bezza selama dua bulan berturut-turut dan Saga terpaksa akur dipintas oleh Perodua Axia yang konsisten sejak Januari.
Mac 2026: Penguasaan 1-2 Perodua
Berdasarkan data pendaftaran rasmi, Perodua mempamerkan taring sebenar apabila menguasai dua tangga teratas bagi bulan Mac.
Kejutan Saga pada Januari dengan mengalahkan Bezza nampaknya sudah kebah dan jatuh ke tangga ketiga.
Tiga model terlaris Mac 2026:
- Perodua Bezza: 7,493 unit
- Perodua Axia: 5,774 unit
- Proton Saga: 5,398 unit
Bezza Rampas Kedudukan Terlaris Saga
Kedudukan keseluruhan setakat suku pertama 2026 menyaksikan takhta kereta nombor satu kini milik Perodua semula.
Berdasarkan data terkumpul (Year-To-Date), Perodua Bezza mencatatkan pendaftaran sebanyak 22,955 unit, sekali gus memintas Proton Saga yang mencatatkan 21,690 unit.
Dengan kelebihan sebanyak 1,265 unit, Bezza secara rasminya kembali menerajui pasaran bagi suku pertama (Q1) 2026.
Saga Mula Semput?
Angka pendaftaran Saga pada bulan Mac bukan petanda mutlak populariti Saga sudah menurun.
Hakikatnya, Saga 2026 masih menjadi fenomena dengan jumlah tempahan yang kini sudah melangkaui 100,000 unit. Saga buat masa sekarang model kedua terlaris.
Kejatuhan pendaftaran berkemungkinan disebabkan gangguan rantaian logistik dan tempoh hari bekerja yang singkat akibat cuti Hari Raya Aidilfitri.
Dengan tempahan yang besar, cabaran utama Proton sekarang adalah memastikan proses penghantaran dapat dilakukan dengan lebih pantas.
Axia Terus Melonjak
Berbeza dengan Saga, Perodua Axia sebenarnya sudah bersiap sedia untuk mengambil alih sejak Januari 2026 lagi.
Berdasarkan data pendaftaran bulanan, Axia adalah satu-satunya model dalam kelompok Top 3 yang menunjukkan trend peningkatan konsisten setiap bulan:
- Januari: 6,581 unit
- Februari: 5,306 unit
- Mac: 5,774 unit
Kehebatan Axia menyerlah meskipun dalam bulan-bulan perayaan iaitu pada Februari dan Mac.
Penguasaan Axia dan Ketidaktentuan Global
Jangkaan bagi bulan-bulan mendatang memperlihatkan Perodua Axia akan terus menguasai pasaran apabila mengambil kira faktor ketidaktentuan ekonomi global.
Kebimbangan terhadap harga minyak mentah dunia kini memuncak susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran dan tekanan sudah boleh dirasa melalui struktur subsidi bahan api domestik.
Dalam situasi geopolitik yang tidak menentu ini, pengguna dilihat akan lebih cenderung memilih kenderaan yang menawarkan kecekapan bahan api sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kos sara hidup yang dijangka meningkat.
Dominasi Jenama: Nasional Terus Kebal, Honda Mula Pecut!
Dua jenama nasional iaitu Perodua dan Proton masih lagi kukuh menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jurang yang sangat besar berbanding jenama lain.
Namun, satu perkembangan menarik pada bulan Mac adalah kebangkitan jenama Honda yang mula menjarakkan diri dalam kelompok jenama bukan nasional.
Setelah dua bulan di luar gelanggang 10 model terlaris, Mac menyaksikan City (Sedan & Hatchback) kembali menunjukkan taring dengan pendaftaran sebanyak 2,743 unit.

Kebangkitan ini sekali gus meletakkan angka YTD bagi siri City sebanyak 5,232 unit, yang membantu Honda untuk terus menjarakkan diri daripada pesaing terdekat.
Jika pada bulan Februari, jurang Honda (6,556 unit) dan Chery (5,101 unit) hanya sekitar 1,455 unit, lonjakan pada Mac menyaksikan jurang tersebut melebar kepada 5,874 unit.
Walaupun Chery masih mengekalkan kedudukan kelima dengan pertumbuhan yang cemerlang, lonjakan Honda membuktikan jenama Jepun tersebut masih mempunyai pengaruh kuat untuk mengekang asakan jenama dari China.
Berikut adalah kedudukan jenama mengikut jualan terkumpul (YTD) setakat Mac 2026:
- Perodua: 74,233 unit
- Proton: 48,440 unit
- Toyota: 22,208 unit
- Honda: 13,618 unit
- Chery: 7,744 unit
- Mitsubishi: 3,061 unit
- Mazda: 2,339 unit
- BYD: 2,261 unit
- Mercedes-Benz: 2,063 unit
- Jetour: 1,680 unit
Sumber: data.gov.my, PaulTan



































