Utama Berita Automotif AEON Credit, Cardinals Racing jalin kerjasama hadapi ARRC 2026

AEON Credit, Cardinals Racing jalin kerjasama hadapi ARRC 2026

5

AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) mengumumkan pelaburan rasminya dalam pasukan Cardinals Racing bagi musim Kejuaraan Asia Road Racing (ARRC) 2026.

Pengumuman ini sekali gus memperkukuhkan kepimpinan serta komitmen berterusan terhadap ekosistem dua roda di Malaysia.

Sebagai peneraju pemasaran dalam pembiayaan motosikal dengan pegangan pasaran melebihi 20 peratus, AEON Credit memainkan peranan penting dalam menyediakan mobiliti dan akses kepada rakyat Malaysia.

Kerjasama terbaharu ini mencerminkan pelaburan berterusan AEON Credit dalam pertumbuhan industri dua roda, melangkaui pembiayaan kepada prestasi, pembangunan bakat dan kecemerlangan sukan permotoran serantau.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Sinergi Perniagaan AEON Credit, Lee Tyan Jen berkata, kerjasama dengan Cardinals Racing adalah lanjutan semula jadi daripada kepimpinan mereka dalam segmen motosikal.

“Kami berbangga dapat menyokong pasukan yang mencerminkan ketepatan, ketahanan dan semangat daya saing, nilai yang selari dengan kami.

“Kerjasama ini juga memperkasakan ekosistem sukan permotoran sambil mengukuhkan hubungan kami dengan penunggang dan peminat di seluruh rantau ini,” katanya.

Pasukan Cardinals Racing membina reputasi kukuh dalam ARRC dan diiktiraf atas keupayaan teknikal serta prestasi konsisten di litar.

Dengan sokongan AEON Credit, pasukan ini menyasarkan untuk meningkatkan daya saing dan meraih pencapaian podium yang memberangsangkan sepanjang musim 2026.

Pelaburan jenama ini turut membina kehadiran AEON Credit yang semakin berkembang dalam platform perlumbaan motosikal utama.

Pada tahun 2025, AEON Credit mengambil bahagian dalam aktiviti MotoGP dan menyokong bakat muda Malaysia, Hakim Danish, semasa penampilan wildcard beliau.

Bagi memperkukuhkan lagi komitmen terhadap pembangunan bakat, AEON Credit kini bekerjasama dengan ZK Racing untuk membawa Hakim Danish menyertai kempen penuh musim dalam Kejuaraan Dunia Moto32026.

“Sukan permotoran merupakan platform berkuasa yang mencerminkan inovasi, disiplin dan cita-cita,” tambah Lee Tyan Jen.

“Daripada pembangunan di peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa, kami komited untuk menyokong bakat dan pasukan yang mewakili masa depan perlumbaan,” jelasnya.

Pengurus pasukan Cardinals Racing, KF Wong turut berkongsi rasa berbesar hati pihaknya untuk bekerjasama dengan AEON Credit bagi musim 2026.

“Sokongan ini memperkukuhkan keupayaan kami untuk bersaing di peringkat tertinggi, dan kami berharap dapat memberikan prestasi cemerlang sambil mewakili jenama ini dengan bangga sepanjang kejuaraan,” katanya.

ARRC kekal sebagai siri perlumbaan motosikal terulung di Asia, menarik penyertaan pelumba dan pasukan terbaik dari seluruh rantau ini.

Musim 2026 dijangka bakal melihat persaingan tinggi di pelbagai litar antarabangsa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here