Utama Berita Automotif Lambretta lancar J200, buka tiga lagi fasiliti runcit baharu

Lambretta lancar J200, buka tiga lagi fasiliti runcit baharu

5

Pengeluar skuter ikonik Itali, Lambretta membuktikan keyakinan berterusan terhadap pasaran Malaysia apabila mengumumkan pembukaan tiga bilik pameran sah baharu seiring dengan pelancaran rasmi model serba baharu J200.

Tiga fasiliti peruncitan terbaharu itu masing-masing terletak di kawasan strategik iaitu Shah Alam, Kota Bharu, dan Setapak bagi meluaskan jejak jenama itu di negara ini.

Peluasan tapak peruncitan ini secara langsung membawa jumlah keseluruhan rangkaian Lambretta kepada 10 bilik pameran sah yang beroperasi di seluruh negara.

Mengulas mengenai agenda peluasan berkenaan, laporan rasmi jenama itu dalam satu kenyataan menyebut, pengembangan ini membawa rangkaian seluruh negara Lambretta kepada 10 bilik pameran, seterusnya mempertingkatkan kebolehcapaian pelanggan dan memperkukuhkan sokongan lepas jualan di seluruh Malaysia.

Pengumuman pengembangan perniagaan berkenaan dibuat serentak dengan penampilan sulung Lambretta J200 di pasaran tempatan sempena penganjuran acara tahunan Art of Speed 2026 Ke-15, Sabtu lalu.

Pengenalan rasmi model itu disempurnakan Pengarah APAC Lambretta, Pierre Sainton, sekali gus menandakan kemunculan rasmi J200 di negara ini.

Inisiatif pelancaran rasmi J200 di Malaysia diterajui Bike Continent Sdn Bhd selaku pengedar rasmi di bawah pimpinan Pengarah Urusannya, Ronnie Chen.

Dalam portfolio pengurusan ini, Chen mengetuai aspek pengedaran pasaran, manakala urusan pengimportan kenderaan pula dikendalikan secara rasmi oleh Mofaz Motosikal Sdn Bhd yang diwakili Datuk Nik Izani Nik Ibrahim.

Meneliti aspek penawaran produk baharu, J200 diinspirasikan daripada siri legenda Lambretta J era 1960-an dengan mengekalkan identiti seni bina rendah dan panjang berserta binaan keluli monocoque penuh.

Skuter yang direka untuk mobiliti bandar ini dikuasakan :

  • Enjin penyejuk cecair bersesaran 174.5 cc berkuasa 17.0 kuasa kuda
  • dilengkapi ciri moden paparan digital TFT
  • pencahayaan LED penuh

Dalam merancakkan lagi penglibatan pelanggan, Lambretta turut mengumumkan kerjasama strategik bersama jenama VICO menerusi kempen promosi nasional bertajuk VICO Bytes to Ride yang bermula dari 1 Ogos hingga 30 September 2026.

Melalui kempen promosi berkenaan, lapan warganegara Malaysia yang bertuah akan dipilih setiap minggu untuk menerima hadiah berupa skuter eksklusif Lambretta J200 VICO Edition.

Turut melengkapkan majlis pada acara berkenaan ialah pendedahan model Lambretta X250GP Speedster yang tampil lebih sporty dengan profil grafik bermotifkan api dinamik yang ditawarkan dalam tiga pilihan warna baharu iaitu :

  • Aurora Grey Matte
  • Super Black
  • Latte Brown

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here