
Sepasang suami isteri cedera apabila MPV yang dinaiki merempuh sekumpulan gajah liar di KM274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh di Chukai, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Mohd Razi Rosli berkata dalam kejadian pada 10.20 malam itu, mangsa Abdul Wahid Ismail, 55, mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala isterinya Fauziah Muda, 52, cedera di tangan kanan.
Beliau berkata ketika kejadian pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Gajah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa Abdul Wahid memandu MPV jenis Toyota Estima di lorong sebelah kiri dan setibanya di lokasi kejadian terdapat sekumpulan gajah dipercayai berada di laluan yang dipandunya.
“Berikutan jarak yang terlalu dekat mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan gajah liar tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Zubaderi Zahari berkata lapan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian bertindak mengeluarkan Fauziah dan memberi rawatan awal kepada mereka.
“Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya.
































