
Sebanyak 222 buah motosikal peserta himpunan RXZ Members 8.0 yang disita telah diserahkan semula kepada pemilik secara berperingkat.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, proses penyerahan motosikal berkenaan berjalan lancar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada Ahad dan Isnin.
Jelasnya, penyerahan dilaksanakan setelah semua proses dokumentasi selesai dan saman berkaitan dikeluarkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pemilik motosikal mengakui kesalahan lalu lintas yang telah dilakukan. Mereka juga memberi komitmen dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama pada penganjuran perhimpunan RXZ Members yang akan datang.
“Kebanyakan motosikal yang disita tidak terlibat dengan sebarang kejadian jenayah (seperti rekod curi atau pendaftaran palsu), sebaliknya penahanan dibuat atas kesalahan teknikal serta pelanggaran undang-undang,” ujarnya.
Mohd Khairi menyatakan semua kenderaan telah diserahkan dan dibawa balik menggunakan kenderaan pengangkut.
Tambah beliau, antara kesalahan yang dilakukan seperti pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tiada cermin sisi dan lesen memandu sah serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Di samping itu, pemilik Yamaha RX-Z tersebut juga didapati menggunakan aksesori yang tidak sempurna dan tiada brek belakang serta memandu di bawah umur.
































