
Zeekr Intelligent Technology Malaysia merekodkan pencapaian penting apabila berjaya menyerahkan 5,000 kenderaan elektrik (EV) kepada pelanggan tempatan dalam tempoh kurang 2 tahun sejak memasuki pasaran Malaysia.
Bersempena kejayaan itu, Zeekr Malaysia memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada pengalaman pemilikan yang lebih lengkap.
Ia merangkumi penambahbaikan perkhidmatan selepas jualan, manfaat eksklusif, akses pengecasan lebih luas dan perlindungan jangka panjang untuk pemilik.
Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, pencapaian 5,000 penyerahan membuktikan hubungan kukuh dibina bersama pelanggan sejak jenama itu memasuki pasaran Malaysia.
“Ini menjadi pembakar semangat kepada kami untuk terus melabur dalam pembangunan ekosistem pemilikan yang menawarkan lebih banyak nilai, bukan sekadar melalui produk yang dijual,” katanya.
Program Waranti Lanjutan Untuk Perlindungan Lebih Lama
Antara inisiatif utama adalah pengenalan Program Waranti Lanjutan.
Program ini boleh dilanggan pemilik baharu dalam tempoh 7 hari selepas menerima kenderaan.
Pemilik sedia ada juga berpeluang mendapatkan perlindungan sama sehingga 30 September 2026.
Dua pakej ditawarkan:
- Silver Plan : Waranti kenderaan dan komponen voltan tinggi sehingga 8 tahun atau 160,000 km
- Gold Plan : Waranti yang sama dengan had perbatuan dinaikkan kepada 180,000 km
Waranti meliputi kos alat ganti yang layak dan upah pembaikan di semua pusat servis sah Zeekr.
Semua kerja menggunakan komponen tulen dan dikendalikan juruteknik bertauliah.
Pemeriksaan Kesihatan EV Percuma
Zeekr Malaysia turut menawarkan pemeriksaan kesihatan EV secara percuma di semua pusat servis sah sehingga 30 September 2026.

Pemeriksaan merangkumi :
- sistem bateri utama
- sistem rangkaian kuasa elektrik
- sistem BCM
- pemeriksaan bahagian bawah kenderaan
- bateri voltan rendah
Pemilik digalakkan membuat temu janji lebih awal bagi mengurangkan masa menunggu.
Zeekr Power: Rangkaian Pengecas Pantas 400kW
Bagi memperkukuh kemudahan pengecasan, Zeekr melancarkan Zeekr Power — rangkaian pengecas pantas miliknya sendiri hasil kerjasama strategik dengan DC Handal.
Syarikat menyasarkan pembinaan 30 stesen Zeekr Power di seluruh negara dalam tempoh 3 tahun bagi meningkatkan akses di laluan utama dan destinasi tumpuan pengguna EV.
Pengecas mampu membekalkan kuasa sehingga 400kW, dengan beberapa lokasi berpotensi dinaik taraf kepada 640kW pada masa depan.
Lokasi yang kini beroperasi :
- Amanjaya Mall, Sungai Petani
- Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang
- MH Hotel, Ipoh
- Sunway Pyramid, Petaling Jaya.
Dalam pembinaan :
- Plaza Tol PLUS Sungkai, Perak
- Plaza Tol PLUS Bukit Gambir, Johor (dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini)
Sebagai promosi pengenalan, pemilik Zeekr boleh menikmati kadar pengecasan DC serendah RM1.20 bagi setiap kWh di stesen Zeekr Power yang mengambil bahagian.
Ekosistem Pemilikan EV Premium
Zeekr Malaysia menegaskan semua inisiatif ini bertujuan membina ekosistem pemilikan EV premium yang lebih lengkap.
Tujuannya adalah bagi memberi keyakinan, kemudahan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan.
































