Utama Berita Automotif Citroën BX GTi genap 40 tahun, sedan sporti dengan suspensi hidro-pneumatik, hero...

Citroën BX GTi genap 40 tahun, sedan sporti dengan suspensi hidro-pneumatik, hero 80-an!

7

Citroën BX GTi kini genap 40 tahun selepas diperkenalkan pada Julai 1986 sebagai varian paling sporti dalam keluarga BX.

Model itu lahir selepas BX menerima kemas kini pertengahan kitaran produk dan menggantikan BX 19 GT serta BX Sport.

Citroën ketika itu mahu menghasilkan sebuah sedan yang menawarkan prestasi tinggi, tetapi masih mengekalkan keselesaan serta prakrtikaliti untuk kegunaan harian.

BX diperkenalkan pada tahun 1982 dan direka oleh firma reka bentuk Itali, Bertone, di bawah kendalian Marcello Gandini.

Beliau juga individu yang bertanggungjawab dalam reka bentuk Lamborghini Miura.

Model itu menjadi antara kejayaan terbesar Citroën dengan lebih 2.3 juta unit dihasilkan sehingga 1994.

BX GTi pula dibangunkan ketika persaingan dalam segmen sedan berprestasi semakin sengit.

Satu lagi fakta yang menarik, BX 19 GTi pernah dipasang di kilang AMM, Pekan, Pahang.

Gabungan prestasi dan praktikaliti

BX GTi direka oleh Carl Olsen, individu yang turut terlibat dalam reka bentuk Citroën AX dan CX Series 2.

Kemasan pada 1986 membawa beberapa perubahan pada BX, termasuk:

  • Fender depan dan belakang yang lebih lebar.
  • Bampar jenis wraparound dalam warna badan.
  • Lampu isyarat putih yang disusun sebaris dengan lampu utama.
  • Keseluruhan badan menerima rawatan galvanisasi bagi mengurangkan masalah karat.
  • Spoiler belakang.
  • Lampu kabus hadapan yang diambil daripada BX Sport.
  • Rim dengan kemasan khusus.
  • Tayar berprestasi.
  • Logo GTi pada bahagian sisi belakang dan pintu but.

Dengan panjang 4.24 meter, BX GTi masih mengekalkan bentuk praktikal sebuah sedan keluarga.

Namun, enjin di bawah hud menjadikannya jauh lebih menarik.

BX GTi menggunakan enjin empat silinder 1.9 liter, 8-injap dengan sistem suntikan bahan api elektronik yang menghasilkan 125 hp dan tork maksimum 175 Nm pada 4,500 rpm.

Gabungan enjin tersebut dengan berat (kerb) hanya 1,025 kg memberikan nisbah kuasa kepada berat sekitar 8.2 kg/hp.

Citroën mendakwa BX GTi mampu mencapai kelajuan hampir 200 km/j, manakala pecutan 0 – 1 km mengambil masa 30.5 saat.

Suspensi hidro-pneumatik kekal menjadi tarikan

Antara perkara paling menarik mengenai BX GTi ialah penggunaan teknologi suspensi hidro-pneumatik yang menjadi identiti Citroën.

Untuk GTi, suspensi tersebut ditala lebih keras berbanding varian BX biasa bagi memberikan pengendalian lebih sporti.

Namun begitu, Citroën masih mahu mengekalkan tahap keselesaan yang tinggi.

Suspensi hidro-pneumatik membantu menyerap permukaan jalan yang tidak rata sambil mengekalkan kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.

Sistem brek empat cakera, stereng kuasa dan ABS sebagai pilihan turut melengkapkan ciri dinamik BX GTi.

Pendekatan itu membezakan BX GTi daripada sesetengah pesaing yang lebih mengutamakan prestasi sehingga mengorbankan keselesaan.

Dalaman gaya mewah 

BX GTi juga menawarkan ciri-ciri yang agak lengkap untuk sebuah kereta berprestasi pada era 1980-an.

Antaranya ialah:

  • Kerusi baldu dengan pelarasan ketinggian.
  • Cermin sisi penumpang dengan pelarasan elektrik.
  • Sistem kunci berpusat.
  • Kluster meter enam dail khusus.
  • Lampu amaran pintu yang tidak ditutup dengan sempurna.
  • Tersedia untuk pemasangan sistem radio.

Citroën turut menawarkan beberapa lagi pilihan seperti kerusi kulit, bumbung suria elektrik, komputer perjalanan, rim aloi ringan, sistem pendingin hawa dan pakej Hi-Fi.

BX GTi 16-Valve muncul sebagai model perdana

Setahun selepas BX GTi diperkenalkan, Citroën melancarkan BX GTi 16-Valve sebagai model paling berkuasa dalam siri tersebut.

Model itu menggunakan enjin baharu 1.9 liter XU9J4 yang menghasilkan 160 hp pada 6,500 rpm.

Kelajuan maksimum mencecah 218 km/j, manakala pecutan 0-100 km/j hanya mengambil 7.9 saat.

BX GTi 16-Valve juga mencatat sejarah sebagai antara kereta Perancis keluaran besar-besaran terawal yang menggunakan enjin berbilang injap.

Dari segi penampilan, ia menerima bampar sewarna badan dengan jalur hitam, skirt sisi dan rim aloi bersama tayar Michelin berprestasi tinggi.

Suspensi turut ditala semula selari dengan peningkatan kuasa dan ABS dijadikan kelengkapan standard.

Bahagian dalam pula menggunakan kemasan serba hitam, kerusi dengan sokongan lebih baik serta stereng tiga jejari berkonsepkan sporti.

BX GTi 4X4 menyusul pada 1989

Pada 1989, Citroën memperluaskan keluarga GTi dengan BX GTi 4X4.

Model ini menggunakan sistem pacuan empat roda kekal dengan kotak pemindahan di bahagian hadapan dan pembeza gelinciran terhad pada gandar belakang.

Agihan tork antara gandar hadapan dan belakang ialah 53:47.

Pemandu juga boleh mengunci pembeza tengah secara elektrik untuk membantu kereta keluar daripada permukaan jalan yang sukar.

Sistem tersebut memberikan BX GTi 4X4 keupayaan pengendalian yang baik di atas jalan biasa, selain meningkatkan cengkaman di permukaan jalan yang kurang baik.

Evolusi diteruskan sehingga 1993

Keluarga BX GTi terus menerima perubahan sepanjang penawarannya di pasarn.

Bermula tahun 1990, keseluruhan siri GTi disesuaikan untuk menggunakan petrol premium tanpa plumbum.

Kuasanya kemudian dikurangkan kepada 123 hp, tetapi Citroën menyatakan prestasi dan penggunaan bahan api tidak terjejas.

Pada Julai 1991, rim aloi dan stereng sporti daripada versi 16-Valve menjadi kelengkapan standard.

Stereng kuasa turut menjadi standard untuk seluruh siri, manakala penebat bunyi dipertingkatkan.

Setahun kemudian iaitu pada Julai 1992, pendingin hawa pula menjadi kelengkapan standard.

Kemasan dalaman hitam turut digunakan pada keseluruhan siri, sementara kapasiti tangki bahan api BX dinaikkan kepada 66 liter.

BX GTi akhirnya dihentikan pada Julai 1993 selepas pengenalan meluas teknologi penukar bermangkin.

Dengan itu, berakhirlah perjalanan BX GTi selepas hampir sedekad berada dalam keluarga BX.

Bagi Citroën, BX GTi bukan sekadar versi berprestasi tinggi.

Model ini memperlihatkan pendekatan unik jenama Perancis itu dalam menggabungkan prestasi, pengendalian, keselesaan dan praktilkaliti dalam sebuah kereta yang sama.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here