Utama Berita Automotif TCS, Jaguar TCS Racing terus kerjasama era GEN4 Formula E

TCS, Jaguar TCS Racing terus kerjasama era GEN4 Formula E

5

Tata Consultancy Services (TCS) melanjutkan kerjasama penajaan utama dengan Jaguar TCS Racing untuk beberapa tahun lagi, dengan peranan diperluas sebagai Rakan Rasmi AI pasukan tersebut menjelang era baharu Kejuaraan Dunia ABB FIA Formula E GEN4.

Pembaharuan kerjasama strategik itu menyaksikan kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada penggunaan AI secara menyeluruh dalam operasi perlumbaan dan kejuruteraan, selain memanfaatkan data berprestasi tinggi bagi pembangunan generasi akan datang kenderaan elektrik Jaguar.

Kerjasama yang terjalin selama lima tahun itu terbukti membuahkan hasil apabila Jaguar TCS Racing berjaya merangkul dua gelaran Kejuaraan Dunia Pasukan Formula E pada 2024 dan 2026, serta merekodkan jumlah kemenangan dan podium tertinggi berbanding pasukan lain sepanjang era GEN3 Evo.

Selain kejayaan di litar, kerjasama TCS dan Jaguar juga memacu inovasi teknologi digital termasuk pengkomputeran awan dan teknologi digital twin yang meningkatkan prestasi perlumbaan dan mempercepat pemindahan teknologi mobiliti elektrik dari litar kepada kenderaan produksi.

Antara inovasi utama yang menjadi tunjang kejayaan pasukan ialah Model Pengesahan Kenderaan Maya (V3M) dibangunkan TCS, yang membolehkan jurutera Jaguar TCS Racing mengesahkan perubahan perisian dan menjalankan simulasi berterusan dalam masa nyata, bagi membuat keputusan pantas dalam saingan Formula E.

Dengan GEN4 bakal membawa evolusi besar dalam perlumbaan serba elektrik, kedua-dua pihak kini dalam perancangan untuk meneroka potensi AI bagi meningkatkan kecekapan tenaga, kejuruteraan dan strategi perlumbaan ke tahap lebih tinggi.

Ketua Pegawai Pemasaran Global TCS, Abhinav Kumar berkata, kerjasama itu membuktikan hasil yang boleh dicapai apabila dua pasukan bertaraf dunia berkongsi aspirasi sama.

“Melalui pembaharuan ini, kami akan terus memanfaatkan AI dan teknologi canggih untuk membuka peluang prestasi baharu bagi membantu Jaguar TCS Racing bersaing untuk lebih banyak podium dan kejuaraan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JLR Motorsport, Chris Thorp menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pemangkin penting dalam menolak sempadan prestasi, kecekapan dan inovasi pasukan.

“Apabila kejohanan memasuki era GEN4, kolaborasi ini membantu kami memacu masa depan sukan permotoran elektrik sepenuhnya, sambil menjadi asas kepada pembangunan generasi baharu kereta Jaguar,” ujarnya.

Kerjasama itu turut melangkaui dunia perlumbaan menerusi inisiatif pendidikan global TCS, Ignite My Future (IMF).

Sejak diperkenalkan pada 2023, hampir 30,000 pelajar dari 16 negara didedahkan kepada aplikasi dunia sebenar data perlumbaan, reka bentuk dan strategi melalui program pendidikan khusus serta kandungan eksklusif di sebalik tabir pasukan.

TCS menjadi rakan strategik JLR lebih sedekad dan bertapak di United Kingdom selama 50 tahun dengan kerjasama bersama lebih 200 jenama utama.

Awal tahun ini, syarikat itu turut mengumumkan perancangan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baharu di UK dalam tempoh tiga tahun akan datang.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here