Utama Berita Automotif BMW R 1300 GS tampil dengan teknologi Automated Shift Assistant

BMW R 1300 GS tampil dengan teknologi Automated Shift Assistant

6

BMW Motorrad Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam segmen motosikal adventure touring menerusi pengenalan varian terbaharu BMW R 1300 GS yang dilengkapi teknologi Automated Shift Assistant (ASA).

Diperkenalkan pertama kali di Malaysia Autoshow 2024, model ikonik itu kini menerima naik taraf signifikan menerusi Pakej Dinamik yang dipertingkatkan, merangkumi :

  • ASA
  • Pelarasan Suspensi Dinamik (DSA)
  • Pembantu Penukaran Gear Pro
  • Mod Tunggangan Pro
  • Brek Sport

Menurut BMW Motorrad Malaysia, ASA adalah evolusi terbaharu teknologi penukaran gear yang mengautomasikan kawalan klac dan penukaran gear sepenuhnya, tanpa mengorbankan pengalaman tunggangan dinamik yang menjadi DNA R 1300 GS.

Dengan ASA, penunggang tidak lagi perlu mengendalikan klac secara manual, sekali gus memudahkan pergerakan ketika memulakan tunggangan, berhenti dan melakukan manuver, terutama dalam kesesakan trafik dan laluan mencabar.

Sistem ini menawarkan dua pilihan mod tunggangan.

  • Dalam mod M, penunggang masih boleh menukar gear menggunakan tuil kaki manakala operasi klac diuruskan secara automatik
  • Bagi mod D pula, penukaran gear diautomasikan sepenuhnya mengikut kelajuan dan beban enjin, memberikan pengalaman tunggangan yang lebih lancar dan santai

Teknologi ini direka untuk melengkapi enjin boxer lagenda R 1300 GS, sama ada untuk tunggangan harian, mendaki cerun atau meredah laluan off-road.

Bagi memenuhi keperluan pengembaraan jarak jauh, R 1300 GS baharu dilengkapi Pakej Kembara merangkumi :

  • persediaan peranti GPS
  • Sistem Kunci Berpusat
  • Sambungan Pelindung Tangan
  • pemegang beg sisi kiri dan kanan

Sementara itu, Pakej Keselesaan menambah Kit Penumpang, cermin penghadang angin boleh laras elektrik dan tongkat utama.

Ciri standard lain termasuk Pelarasan Ketinggian Adaptif, lampu utama Deluxe dan bateri ringan M.

Model ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu warna baharu White Aluminium Metallic dan Black Storm Metallic.

R 1300 GS dikuasakan enjin boxer dua silinder bersesaran 1,300cc yang mampu menghasilkan 145 hp pada 7,750 rpm dan tork maksimum 149 Nm pada 6,500 rpm – menjadikannya enjin boxer produksi siri paling berkuasa pernah dihasilkan BMW Motorrad setakat ini.

Reka bentuk kompak menempatkan kotak gear di bawah enjin menyumbang kepada berat keseluruhan 237 kilogram.

BMW R 1300 GS dengan ASA dijual pada harga RM145,000 atas jalan tidak termasuk insurans, disertakan waranti tiga tahun dan bantuan tepi jalan tiga tahun.

Melalui BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan ditawarkan serendah RM2,048 sebulan berdasarkan pembiayaan Straight Line Financing pada kadar rata 4.50 peratus dengan pinjaman 90 peratus selama tujuh tahun.

Pelanggan juga layak menikmati program Minyak Enjin Premium Inklusif, Servis Inklusif dan Lanjutan Waranti yang ditawarkan BMW Motorrad Malaysia.

Dengan gabungan teknologi automatik, kelengkapan kembara yang lengkap dan keselesaan jarak jauh, varian baharu R 1300 GS dilihat bakal menjadi pilihan utama penunggang yang mahukan prestasi adventure tanpa kompromi untuk kegunaan harian dan ekspedisi jarak jauh.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here