
Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM459.8 bilion bagi Belanjawan 2027, meningkat sebanyak RM40.6 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan MADANI Kelima bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” itu memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang upah rakyat di samping menstruktur semula sistem percukaian negara.
Tambah beliau, kadar gaji minimum hanya menaikkan lantai pendapatan pekerja, sementara upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka.
Justeru itu, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dan graduan pada RM2,500 sebulan sebagai permulaan.
“Kerajaan juga menyambut baik komitmen GLIC dan GLC yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 ketimbang RM3,100 sebulan. Langkah ini memberi manfaat kepada 230,000 orang pekerja,” jelasnya.





























