
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan berkuat kuasa 1 Januari 2027, hanya wakil individu atau syarikat yang berdaftar sebagai Perantara Berdaftar sahaja dibenarkan menjalankan urus niaga bagi pihak pelanggan di pejabat dan cawangan JPJ.
Menurut Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli proses pendaftaran bagi individu atau pihak yang berminat menjadi Perantara Berdaftar akan dibuka secara dalam talian bermula 1 November 2026.
“Pemohon yang diluluskan akan diberikan pengenalan rasmi digital dengan tempoh sah laku selama dua tahun,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, JPJ menegaskan bahawa pihak jabatan tidak mempunyai sebarang ikatan atau hubungan perniagaan dengan mana-mana Perantara Berdaftar.
Sehubungan itu, pihak JPJ tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang bentuk kerugian atau pertikaian yang timbul daripada urusan persendirian antara pelanggan dengan pihak perantara berkenaan.
Bagi memastikan setiap urus niaga kekal selamat, telus, dan terjamin, orang ramai digalakkan agar terus berurusan secara langsung menerusi saluran rasmi jabatan seperti aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, atau di mana-mana kaunter fizikal rasmi JPJ tanpa perlu melantik pihak ketiga.




