
Mana-mana kaki kereta pasti juga suka main game berlumba kereta. Selain mengisi masa lapang, game kereta kini menawarkan peluang untuk mencuba pelbagai jenis jentera impian di alam maya dan berlumba di pelbagai litar tersohor seluruh dunia.
Pelbagai game menarik ditawarkan tahun 2019. Nama-nama besar seperti GT Sport dan DiRT kini memfokus kepada perlumbaan online, manakala game lain seperti Forza Horizon 4 lebih menyeronokkan untuk pemain santai.
Konsol-konsol seperti Xbox One X dan PS4 Pro pula kini menghasilkan grafik sangat berkualiti tinggi dengan HDR dan 4K – jika anda memasangnya di TV yang betul. Dengan setup yang betul, sama ada anda bermain dengan roda stereng atau alat kawalan jauh konsol biasa, game yang kami senaraikan ini pasti boleh buatkan anda tak keluar rumah!
1. GT Sport: Game kereta terbaik pada PS4
Semasa Gran Turismo Sport mula keluar, ia memang bagus, tapi tak hebat. Ia serba tak cukup. Tetapi beberapa bulan dan update percuma kemudian, GT Sport telah menjadi antara game perlumbaan paling menyeluruh pernah dihasilkan.
Senarai kereta dan litar terus bertambah, dan terbaharu ia menambah kereta F1 2017 Lewis Hamilton dan satu litar baharu. Grafik juga menarik. Jika anda ada PS4 Pro dan TV yang menyokong HDR dan 4K, GT Sport akan memberikan grafik terbaik pernah anda lihat – jika tak kira PC gaming.
Tidak seperti game lain, terdapat juga fungsi multiplayer atau komuniti pelbagai pemain yang menarik. Jadi tidak kira anda mencari perlumbaan online berhemah, membuat livery kereta kegemaran anda atau mencari forum untuk berkongsi pemanduan, segalanya ada di sini.