7 tips berguna panjangkan jangka hayat bateri kereta

373

Anda pasti tahu bahawa bateri kereta adalah antara komponen yang penting untuk sesebuah kenderaan. Oleh itu, amat penting untuk anda ketahui bila anda patut mula berkira-kira untuk tukar bateri kereta anda. Kali ini Motoqar akan berkongsi tips atau cara untuk memanjangkan jangka hayat bateri sesebuah kereta.

Bateri kereta terdapat pelbagai fungsi; daripada menghidupkan kereta hingga lah anda juga boleh mengecas alatan eletronik seperti telefon bimbit anda. 

Bukan itu sahaja, bateri juga memberikan segala keperluan untuk memastikan kenderaan terus bergerak lancar di atas jalan raya.

Terdapat pelbagai jenama bateri kereta popular di Malaysia antaranya Century, Amaron, Bosch, Yokohama, Hitachi dan lain-lain lagi.

Contoh bateri kereta dari jenama Century
Contoh bateri kereta dari jenama Century

Secara purata, bateri kereta boleh bertahan selama 2 hingga 5 tahun. Antara salah satu faktor yang boleh mempengaruhi jangka hayat bateri kereta adalah cuaca. Ketika kenderaan berjalan, enjin sudah menghasilkan haba yang tinggi. Haba yang terlampau panas pada bateri akan meningkatkan penyejatan air pada sel bateri walaupun bateri tertutup dan ini mampu memendekkan jangka hayat bateri kereta.

Kenderaan yang selalu dibiarkan di bawah cahaya matahari yang terik boleh menyebabkan bateri “kong” dan menjadi punca kereta tidak boleh dihidupkan jika anda tidak mengambil langkah penjagaan bateri kereta yang betul.

Amalkan 7 langkah ini untuk memanjangkan jangka hayat bateri kereta anda:

1. Hadkan perjalanan jarak dekat

Memandu kereta anda dengan sekejap menghalang bateri kereta daripada dicas sepenuhnya. Jadi, anda boleh mengekalkan kuasa bateri kereta dengan memandu lebih kerap dan juga memandu untuk tempoh yang lebih lama.

Melalui cara ini, anda boleh meningkatkan ketahanan hayat bateri kereta dan mengelakkan bateri “kong” dengan cepat. Namun begitu, jika anda jarang menggunakan kereta anda, anda boleh mempertimbangkan untuk melaburkan wang anda membeli pengecas bateri mudah alih.

Kelebihan pengecas mudah alih ini adalah, ia boleh jump start bateri tanpa memerlukan kenderaan lain sekiranya kereta anda mati di tepi jalan. Berguna, bukan?

2. Pasang bateri dengan betul

pasang dengan betul untuk panjangkan jangka hayat bateri

Cara pemasangan bateri kereta yang betul memainkan peranan penting untuk memastikan bateri tahan lebih lama. Bateri yang tidak dipasang dengan betul dan ketat akan menyebabkan getaran.

Getaran pada bateri berpotensi untuk mengakibatkan kerosakan kepada komponen dalaman bateri dan menyebabkan litar pintas, seterusnya dapat mengurangkan jangka hayat bateri kereta.

Adakah anda memeriksa terminal bateri anda dengan kerap? Pastikan ianya diperiksa secara berkala terutamanya jika anda sering memandu di jalan-jalan yang beralun untuk memastikan bateri terpasang dengan ketat dan ia berada di dalam pendakap pelekap dengan kedudukan yang betul.

Namun begitu, jangan melakukan kesilapan dengan terlalu mengetatkan nat kekunci bateri kerana ia mungkin merosakkan bateri! Terminal bateri yang dipasang dengan kemas dan ketat akan dapat mengekalkan ketahanan jangka hayat.

3. Matikan semua lampu apabila keluar

Ini mungkin tips yang tidak perlu diberitahu lagi, namun ada juga yang terlupa mematikan semua lampu semasa keluar dan mematikan kereta.

Penggunaan lampu yang berpanjangan tanpa bateri dicas akan menyebabkan bateri kong. Untuk mengelakkan anda daripada lupa, tampal nota atau reminder pada papan pemuka kereta anda, pasang pelekat pada remote kereta anda ataupun anda juga boleh memarkir kenderaan ke arah yang anda perlu berjalan melepasi lampu hadapan kereta anda untuk sampai ke destinasi.

4. Bersihkan terminal untuk jaga jangka hayat bateri

Selalu bersihkan terminal untuk panjangkan jangka hayat bateri

Terminal bateri akan terhakis dari masa ke semasa, namun memastikan ianya sentiasa dibersihkan daripada pembentukan sisa-sisa dan karat adalah langkah yang baik untuk panjangkan jangka hayat bateri kereta anda.

Antara penjagaan bateri kereta mudah yang boleh dilakukan untuk membersihkan terminal bateri adalah dengan menggosok terminal dengan berus gigi yang dicelup dalam baking soda (serbuk penaik) yang dicampur dengan air. Kemudian, bilas cucian tersebut menggunakan botol semburan dengan air sejuk diikuti dengan mengelap permukaan terminal dengan kain yang bersih hingga kering.

5. Uji dan periksa bateri dengan kerap

Jika anda ingin memaksimumkan jangka hayat, adalah amat penting untuk anda mengetahui keadaan semasa bateri anda dan berapa lama bateri kereta boleh tahan. Oleh yang sedemikian, anda boleh menguji tahap voltan output bateri anda menggunakan penguji bateri.

Dengan ini, anda dapat bersedia sekiranya bateri anda sudah sampai masanya untuk ditukar.

6. Gunakan alat/gajet elektronik yang betul

Ini adalah tips penjagaan bateri kereta paling mudah, iaitu matikan fungsi eletronik seperti radio dan penghawa dingin ketika kenderaan tidak berjalan. Pastikan juga gajet atau aksesori lain seperti dashcam dan pengecaj telefon menepati spesifikasi dan had voltan pada soket kereta anda. Ini dapat mengurangkan “wear and tear” pada kuasa bateri anda.

7. Jaga kereta secara menyeluruh untuk panjangkan jangka hayat bateri

Kereta anda mempunyai komponen-komponen dan bahagian-bahagian yang bekerja bersama-sama dan kereta anda hanya mempunyai satu bateri. Oleh itu, jangan biarkan kereta anda tidak digunakan atau berjalan untuk tempoh yang lama kerana ia akan mengurangkan jangka hayat bateri kereta kerana ianya tidak dicas.

Bayangkan kereta anda sentiasa mati secara tiba-tiba kerana anda tidak menjaga bateri kereta dengan baik, pasti kereta anda juga akan cepat bermasalah!

Komen anda mungkin membantu