Perodua tembusi pasaran Seychelles dengan pelancaran Axia

461

Perodua telah melancarkan Axia di Seychelles, menandakan kemasukan jenamanya ke negara kepulauan itu.

Perodua Axia ditawarkan di sana dalam empat varian; E MT, G AT, SE dan AV, dengan harga promosi masing-masing 235,000 (*RM71,500), 265,000 (*RM80,600), 275,000 (*RM83,700) dan 290,000 (*RM88,300) Rupee Seychellois.

Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan intelligent variable valve timing yang dipadankan dengan transmisi manual 5-kelajuan bagi varian E MT dan transmisi automatik 4-kelajuan bagi varian-varian yang lain.

Perodua telah melantik SF Hybrid Motors Pty Ltd sebagai pengedar rasminya di Seychelles bagi mengendalikan jualan dan lepas jualan di sana.

Di benua Afrika, Perodua juga mengeksport ke Mauritius, di mana lebih 3,000 unit kenderaannya telah dijual sejak 1996.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin berkata, “Kami akui bahawa prestasi eksport kami masih tidak signifikan pada masa ini, namun kami gigih berusaha untuk mengembangkan perniagaan kami.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan teknikal dan teknologi kami, Daihatsu Motor Company of Japan, dengan memanfaatkan pengalaman dan rangkaian mereka untuk merancangkan eksport yang lebih mampan dan menguntungkan,” katanya.

Beliau menambah bahawa Seychelles adalah destinasi popular bagi pelancong Eropah dan Afrika dan ini akan membuka lebih banyak peluang eksport melalui pendedahan jenama Perodua.

Seychelles adalah sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada 115 pulau di Lautan Hindi, sebelah timur daratan Afrika.

Komen anda mungkin membantu