Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff sukar digugat

2351

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff menemui sentuhan kemenangan selepas muncul juara kelas CP115 pada aksi Pusingan Ke-6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Stadium Mini Teluk Intan, semalam.

Kemenangan itu adalah kejuaraan pertama Ahmad Syukran Aizat musim ini sekali gus menebus kekecewaannya di Pusingan 5 di Kuala Nerus, Terengganu, bulan lalu.



Kemenangan pelumba berusia 22 tahun itu dicapai selepas menewaskan pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli dengan catatan masa 9.44.542 saat (s).

 

Md Syafiq yang berada di tempat kedua, mencatat 9.44.549s manakala pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Md Aiman Azman menduduki tempat ketiga dengan masa 9.47.745s.

“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya dan ternyata rezeki saya untuk mendapat tempat pertama sudah sampai. Ia juga sekali gus menebus kekecewaan saya di pusingan sebelum ini di Kuala Nerus apabila sekadar menduduki tempat kelapan,” kata Ahmad Syukran Aizat.

Katanya yang memulakan perlumbaan di petak kedua, biarpun litar masih belum kering sepenuhnya selepas hujan lebat, namun itu tidak menjadi masalah kepadanya dan semakin bersemangat untuk mengejar podium.

“Saya akan meneruskan aksi konsisten untuk pusingan seterusnya bagi mengekalkan podium,” katanya.

Selepas berakhirnya saingan Pusingan 6, Ahmad Syukran Aizat selesa mendahului kedudukan keseluruhan dengan 109 mata, manakala Md Syafiq di tempat kedua dengan 83 mata dan pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Fareez Afeez Abd Rahman di tempat ketiga dengan 77 mata.

Untuk pasukan pula, Motul Yamaha YY Pang Racing mendahului carta keseluruhan dengan 143 mata.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here