Perodua Aruz kini dibuka untuk tempahan harga serendah RM72,200

2191

Kenderaan Sport Utiliti (SUV) tiga-barisan tujuh-tempat duduk, Perodua Aruz, kini dibuka untuk tempahan dengan anggaran harga antara RM72,200 dan RM77,200 (harga atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua Aruz adalah model transformasi keempat syarikatnya yang menetapkan piawaian baharu dari sudut kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan.



“Dengan pelbagai aspek yang dipertingkatkan, Perodua Aruz adalah antara SUV yang menawarkan nilai terbaik di Malaysia.

“Perodua Aruz dijangka melengkapkan barisan produk kami yang sedia ada dan berdasarkan pakej produk yang ditawarkan, kami mensasarkan jualan purata bulanan sebanyak 2,500 unit atau 31,200 unit untuk tahun 2019,” katanya.

Dua varian ditawarkan

Perodua Aruz ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance. Hadir dengan lima warna antaranya Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu, Amazon Green.

Turut menyumbang kepada penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP bagi model baharu ini. Ia memiliki ciri-ciri seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula-Daki (HSA), ISOFIX dan enam beg udara. Semua ciri-ciri tersebut terdapat pada semua varian.

Tambahan lagi, varian Advance menampilkan sistem bantuan pemanduan selamat (ASA) yang telah dipertingkatkan, dipanggil ASA 2.0.

Ciri-ciri baharu ASA 2.0 adalah pengesan pejalan kaki sehingga 50 km/j dan kelajuan operasi yang ditingkatkan sehingga 100 km/j bagi Amaran Pra-Pelanggaran. Malah, 80 km/j untuk sistem Brek Pra-Pelanggaran.

Sistem keselamatan ini juga menggabungkan Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (Front Departure Alert) dan Kawalan Kesilapan Menekan Pedal (Pedal Misoperation Control).

ASA adalah sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran dan bukan gantian kepada pemanduan selamat. Sentiasa waspada dan berhati-hati ketika memandu.

 

Kenderaan EEV

Rangkaian kuasa  yang cekap untuk Perodua Aruz ini dibina di Sendayan, Negeri Sembilan. Ia terdiri daripada enjin empat silinder 1.5 liter blok aluminium dengan Dual VVT-i dan transmisi automatik yang dikawal secara elektronik (E-AT).

Ianya digabungkan dengan Sistem Melahu Eko (Eco Idle) untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/l. Perodua Aruz juga diiktiraf oleh kerajaan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Memaparkan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me-Home (lampu auto pada varian Advance). Perodua Aruz juga diggayakan dengan rim aloi dwi-tona berukuran 17-inci, dengan ketinggian 220 mm dari aras tanah.

Akses Pintar dengan Butang Mula/Henti Enjin adalah standard untuk semua varian. Bagi varian Advance, lampu kabus dan rel bumbung ditambah untuk memberikan gaya yang lebih kepada varian tersebut.

Bahagian dalaman menyerlahkan lagi fungsi, gaya dan praktikal, di mana model ini turut dilengkapi dengan cangkuk anti-ragut untuk menghalang kecurian dan cangkuk utiliti di bahagian belakang kerusi.

Semua varian dilengkapi radio skrin sesentuh dengan paparan kamera undur, penghawa dingin digital dengan dua tetapan memori. Selain itu dilengkapi corong penyaman udara untuk penumpang belakang dan alat pembaca kad tol terbina dalam.

Barisan tempat duduk kedua dibahagi 60:40, manakala barisan ketiga 50:50. Kedua-dua barisan tempat duduk ini boleh dilaras, dilipat dan digolek, menghasilkan banyak ruang dan konfigurasi. Terdapat port pengecasan untuk ketiga-tiga barisan tempat duduk.

Varian Advance lebih eksklusif

Bahagian dalaman untuk varian Advance adalah lebih eksklusif dengan kemasan kerusi kulit. Malah turut dilengkapi stereng yang dibalut kulit dengan kawalan terima panggilan, serta perakam video memandu bersepadu.

Varian teratas juga turut dilengkapi dengan HDMI, Smart Link, Bluetooth dan navigasi yang mana ditambah ke dalam sistem skrin sesentuh.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here