Muzium Ferrari anjur pameran khas Michael Schumacher

2302

Jika anda mengikuti Formula 1 (F1) pada era awal 2000, anda pasti kenal Michael Schumacher, juara dunia tujuh kali. Pemandu Jerman itu menjadi faktor utama pasukan Scuderia Ferrari cukup mendominasi kejuaraan pada ketika itu.

Bagi meraikan ulangtahun ke-50 lagenda F1 itu, Muzium Ferrari telah mengadakan pameran khas untuknya. Pameran ini berkenaan perjalanan Schumacher sepanjang hidup dan kariernya dalam bidang perlumbaan. Dipamerkan juga setiap detik kejayaan yang beliau kecapi di litar-litar Grand Prix; 91 kemenangan, 155 podium dan tujuh gelaran dunia.



Antara yang paling menjadi tumpuan pada pameran ini ialah Hall of Victories dimana beberapa buah kereta Ferrari F1 yang pernah dipandunya dipamerkan. Ini termasuklah model F310 yang dipandu Schumacher pada 1994 yang berjaya menguasai 3 perlumbaan. Turut dipamerkan ialah Ferrari F399 yang membawa gelaran pengeluar pada 1999. 

F2000 merupakan kenderaan pertama yang berjaya membawa nama Schumancher setelah meraih kejuaraan buat julung kalinya, turut dipamerkan. Model lain yang dibawa ke pameran adalah F2002, F2004 dan 248 F1 yang dipandu pada 2006 dan berjaya merangkul kejuaraan di Grand Prix China. Kemenangan itu merupakan rekod ke-72 Schumacher.

Selain mempamerkan kereta F1, turut dipamerkan adalah dua buah Ferrari yang dibina untuk dipandu atas jalan raya iaitu 430 Scuderia dan California. Schumacher terlibat secara aktif menala dan memberi input semasa pembangunan model-model ini.

Pameran ‘Michael 50’ ini diadakan bersama pameran ‘Driven by Enzo’ dan ‘Passion and Legend’ di muzium yang sama.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here