Pandu uji: MINI JCW Countryman 306HP – Bila Countryman menjadi ahli sukan lincah [+ video]

2465

MINI sebenarnya telah mempunyai hot hatch mereka sendiri iaitu MINI John Cooper Works GP yang mempunyai resepi tradisi sebuah hot hatch. Ini termasuklah rupa yang agresif dan sporti, pacuan roda-depan, enjin berkuasa, casis yang keras dan pengendalian lincah.

Tetapi syarikat itu baru-baru ini telah menyumbat enjin paling berkuasa mereka, iaitu 2.0-liter TwinPower Turbo ke dalam hud Countryman dan Clubman. Enjin ini menghamburkan 306hp dan 450Nm tork, cukup untuk terus melayakkan Countryman dan Clubman ke dalam liga hot hatch.



Maka lahirlah MINI JCW Countryman 306HP dan JCW Clubman 306HP. Ya, angka kuasa kuda itu dimasukkan pada namanya kerana ia agak signifikan.

Enjin talaan John Cooper Works

Banyak yang dilakukan pada enjin ini untuk mengekstrak kuasa tinggi itu, antaranya crankshaft (aci engkol) yang diubahsuai dan nisbah mampatan yang dikurangkan dari 10.2 kepada 9.5.

Tetapi, turbonya diberi tekanan jauh lebih tinggi manakala komponen kemasukan udara diubah kedudukan bagi menjamin enjin mendapat udara dengan suhu optima.

Untuk menjamin prestasi enjin dikekalkan dalam semua keadaan, sistem penyejukan turut dikaji semula. Ia melalui beberapa pengubahsuaian, antaranya dua radiator luaran, tangki pengembangan khusus, serta penyejukan ketiga menggunakan kondenser.

Dengan semua kuasa ini, adakah kedengaran agak menakutkan dan sukar dikawal? Jangan risau, selain dari ciri keselamatan dan bantuan terkini, MINI JCW Countryman mendapat sistem pacuan semua-roda ALL4, tidak seperti Countryman biasa yang menggunakan pacuan roda-depan.

Transmisi ialah automatik Steptronic 8-kelajuan, membolehkan ia memecut ke 100km/j dalam hanya 5.1 saat sahaja. Ini lebih pantas dari pecutan Honda Civic Type-R (5.7 saat) dan sama pantas dengan Volkswagen Golf GTi. Sudah nampak betapa serius Countryman JCW ini?

Pengalaman pemanduan mengujakan ditambah dengan bunyi sporti hasil dari sistem ekzos sport baharu.

Rupa menarik perhatian

Kebiasaannya kereta MINI mudah menjadi perhatian apabila ia lalu melewati tepi kedai mamak yang anda sedang lepak atau di depan pusat beli belah. Ini kerana gayanya yang klasik, funky dan disertakan dengan kombinasi warna dwi-tone yang menyerlah.

Pada satu tahap, kenderaan-kenderaan MINI nampak agak comel dan feminin, tetapi tidak dengan Countryman JCW ini.

Segala aspek seperti gril, ruang udara, rim, brek, pelekat badan, dan ekzos menunjukkan bahawa ini bukan jentera biasa. Ia nampak lebih istimewa dan serius.

Penulis bukanlah peminat setia MINI tetapi penulis agak suka dengan segala konsep pada Countryman JCW ini. Warna merah yang sporti agak padan dengan cat badan Rebel Green yang seolah-olah warna British Racing Green, klasik England.

Dan harus diakui MINI JCW Countryman ini walaupun berprestasi tinggi, tetap merupakan kereta yang sangat bergaya dan stailo dipandu di kawasan urban. Rasa seronok pula melihat reaksi orang sekeliling yang memerhatikan kereta ini. Bukan bangga tau, cuma seronok.

Kabin klasik disulami elemen sporti

Dari segi rupa kabinnya, boleh dilihat ia mengekalkan ciri ikonik sebuah MINI dengan rekaan bulat-bulat dan garisan beralun. Sukar untuk mencari benda lurus atau bersegi di sini.

Pada masa yang sama, seperti di luar, ia disulami elemen sporti dari John Cooper Works. Ini boleh dilihat pada jahitan kontra merah di roda stereng, kulit di panel pintu dan tempat duduk.

Bercakap mengenai kulit, terdapat balutan seperti Alcantara atau suede pada pintu dan tempat duduk, tetapi untuk MINI ini, ia dinamakan Carbon Black Dinamica.

Tempat duduknya keras dan bolster tepinya tebal. Semacam tidak selesa pada saat awal, tetapi anda akan menghargainya apabila mula memandu laju.

Paling penulis sukakan di kabin ini ialah barisan suis krom di bawah kawalan pendingin hawa yang kelihatan seperti suis-suis dalam pesawat. Bukan sahaja nampak kemas dan cantik, malah semua suis ini terasa mahal dan berkualiti bila digunakan.

Secara keseluruhan, kabin MINi JCW Countryman ini terasa cukup premium, dengan penggunaan bahan yang bermutu dan mempunyai rasa binaan yang kukuh dan mantap.

MINI untuk pemandu tegar

Mana-mana kenderaan MINI sememangnya dikenali dengan pengendalian tepat dan jitu seperti go-kart. Dan jika MINI biasa dibeli untuk mereka yang mementingkan gaya, MINI JCW Countryman ini sebuah jentera yang akan dihargai oleh pemandu tegar.

Ia direka untuk mereka yang gemar memandu, sukakan prestasi dan mempunyai kemahiran mengendalikan jentera berprestasi tinggi, tapi pada masa yang sama mahukan lebih ruang dan praktikaliti.

Kombinasi enjin, transmisi dan pacuan ALL4 memberikan prestasi tinggi yang mudah dikawal dan diakses, tanpa perlu terlalu berhati-hati dan mempunyai deria sangat tajam seperti pemandu F1.

Dan bila membelok, anda dapat rasakan seolah-olah tayar, rim, suspensi, casis dan tempat duduk semuanya digam menjadi satu komponen. Maklumbalas sangat baik dan memberi kepuasan kerana anda tahu banyak perkara yang berlaku di luar dan senang bertindakbalas jika perlu.

Enjin dan ekzosnya menghasilkan bunyi yang merdu pada mana-mana rpm, terutamanya bila dalam mod Sport. Walaupun idle, bunyinya mendalam seperti mengajak anda untuk mula bergerak dan memecut.

Harus diakui, walaupun sangat seronok dipandu, MINI JCW Countryman ini tidaklah begitu mesra penumpang belakang. Ruangnya luas dan tempat duduk cukup selesa, cuma bila dipandu laju, penumpang belakang akan mula merungut. Tambahan lagi tempat duduk depan yang besar mengehadkan pandangan mereka ke depan.

Kesimpulannya, MINI JCW Countryman 306HP kini boleh menjadi satu lagi alternatif jika anda mahukan sebuah hatchback berkuasa yang mampu mengacau Golf, A 45 dan Type-R.

Cuma pada RM378,888, ketiadaan ciri keselamatan aktif maju seperti Active Emergency Braking atau Lane Departure Warning terasa agak kurang nilai untuk wang. Jika Countryman ini diberikan ciri seperti disebut, mungkin harganya terasa seperti pakej lebih baik.

 

Spesifikasi MINI JCW Countryman 306HP

Harga: RM378,888
Enjin: 1,998cc, 4-silinder turbo, DOHC dengan VVT
Kuasa maksima: 306 hp @ 5,000 rpm
Tork maksima: 450 Nm @ 1,750 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), multi-link (belakang)
Sistem keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, Stability Control, ISOFIX

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here