Proton capai 100,000 unit jualan untuk 2019, semua model catat angka jualan cemerlang

2224

Proton menutup tirai 2019 dengan cemerlang apabila mencatat pencapaian penting sepanjang tahun 2019.

Disember mencatatkan jualan tertinggi iaitu sebanyak 11,117 unit bagi keseluruhan 2019, peningkatan sebanyak 112 peratus berbanding bulan yang sama pada 2018.



Ini juga merupakan kali pertama Proton menjual lebih daripada 11,000 kereta dalam tempoh sebulan sejak Julai 2014.

Oleh kerana prestasi jualan bulanan yang kukuh, jumlah jualan bagi keseluruhan tahun 2019 berakhir sebanyak 100,821 unit (eksport dan domestik), dimana buat pertama kali jualan mencecah 100,000 unit sejak tahun 2015.

Jumlah ini adalah bersamaan dengan peningkatan sebanyak 55.7 peratus berbanding tahun 2018, meletakkan Proton sebagai lima teratas bagi pertumbuhan jualan tertinggi pada tahun 2019 dalam kalangan jenama automotif di Malaysia.

Pegangan pasaran pula dianggarkan berada pada 16.7 peratus, angka tertinggi sejak 2014.

Proton X70 mendapat jumlah jualan yang memberangsangkan pada sepanjang tahun pertama ia diperkenalkan dan mencatat rekod sebagai SUV premium terlaris di Malaysia.

Model tersebut turut mengekalkan kedudukan sebagai yang teratas dalam segmennya sepanjang tahun dan mengakhiri 2019 dengan jumlah jualan sebanyak 26,331 unit.

Selain itu, jualan Proton Saga juga terus meningkat sejak pelancarannya pada 6 Ogos lalu. Model terkini dalam rangkaian Proton itu sekali lagi menjadi sedan segmen-A paling popular dengan jualan sebanyak 38,144 unit untuk 2019.

Proton Persona pula mengakhiri bulan Disember dengan jualan sebanyak 3,384 unit. Angka tersebut meletakkan Persona di kedudukan teratas dalam segmennya bagi bulan Disember dan juga merupakan jumlah tertinggi bagi model itu sejak Mac 2012.

Prestasi Proton Iriz dan Exora juga tidak kurang hebatnya. Iriz mencatatkan jualan hampir dua kali ganda untuk tahun ini dan meningkat sebanyak 97 peratus selepas dilancarkan pada bulan April.

Bagi Exora versi terbaharu pula yang diperkenalkan pada akhir bulan Mei lalu, menunjukkan pertumbuhan jualan sebanyak 40 peratus.

Catatan jualan yang meningkat secara konsisten itu bermaksud model tersebut menamatkan 2019 sebagai MPV segmen-C terbaik di Malaysia, iaitu pencapaian terbaik bagi sebuah model yang telah berada di pasaran lebih sepuluh tahun yang lalu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here