Pandu uji: Proton Saga Premium AT – Kereta rakyat terbaik masa kini?

9278

Bila disebut “kereta rakyat”, beberapa tafsiran boleh dibuat. Sama ada Proton Saga Premium AT adalah kereta paling mampu-milik, kereta paling laris, atau secara subjektif, kereta yang paling memberi nilai sentimental.

Siapa yang tidak tahu akan Proton Saga, kereta yang telah lama dikeluarkan, lebih tepat lagi 1985. Ia kereta nasional pertama dari pengeluar kereta Malaysia pertama.



Bercakap mengenai nilai sentimental, pasti ramai di kalangan rakyat Malaysia mempunyai sesuatu memori mengenai Saga dalam hidup mereka dan begitu juga penulis.

Proton Saga 1.3 Megavalve menjadi kereta pertama dalam ingatan penulis kerana arwah bapa penulis pernah memilikinya selama hampir 10 tahun sebelum bertukar kepada Proton Wira 1.5 GLi automatik.

Proton Saga telah mengubah lanskap pemilikan kereta di Malaysia dan sentiasa menjadi model Proton paling mampu milik. Begitulah besarnya impak Proton Saga.

Jadi, kita terus ke 2019, kepada Proton Saga terbaharu. Ia bukanlah model serba baharu sepenuhnya, dan anda boleh baca laporan pelancarannya di sini.

Kami telah memandu uji Saga 2019 ini dari Kuala Lumpur ke Ipoh dalam varian tertinggi iaitu Premium.

Adakah Proton Saga Premium AT mampu menjadi kereta rakyat terbaik masa kini? Mampukah ia menandingi pesaingnya iaitu Perodua Bezza?

Luaran

Tidak banyak perubahan diberikan kepada Saga baharu ini, ia masih berasaskan Proton Saga VVT 2016. Namun banyak perubahan-perubahan kecil diberikan yang bukan sahaja menampakkannya lebih moden, malah menjadikannya lebih selari dengan model Proton yang lain.

Antaranya adalah unsur Infinite Weave pada gril depan, DRL LED yang menggantikan lampu kabus dan tulisan PROTON pada penutup but yang menggantikan lencana sebelum ini.

Penulis memang suka Proton Saga VVT sejak 2016 dan untuk kali ini, penulis rasakan Proton telah menjadikan Saga lebih menawan dan sempurna.

Dalaman

Begitu juga di dalam, beberapa pembaharuan diberikan yang boleh dilihat dengan mata kasar dan tersorok. Perkara zahir yang boleh dilihat antaranya unit hiburan baharu dengan skrin 7-inci “terapung” ala kereta mewah.

Perkara lebih tersorok pula contohnya adalah penebat bunyi yang lebih baik dan lebih banyak untuk memberikan Saga kabin yang lebih senyap dan selesa.

Kelengkapan terkini pada kabin Saga 2019 sememangnya memberikan ia lebih nilai dan praktikaliti untuk pengguna di dalam julat harga ini iaitu bawah RM40k.

Enjin dan prestasi

Di bawah hud Proton Saga 2019 masih lagi enjin sama seperti sebelum ini iaitu unit 1.33-liter 4-silinder dengan DOHC dan VVT. Enjin ini cukup memadai untuk Saga, mengeluarkan sekitar 94hp dan 120Nm tork.

Tetapi terdapat perubahan besar untuk kotak gear, iaitu automatik torque converter 4-kelajuan yang menggantikan CVT Punch pada Saga 2016. Perubahan ini merupakan satu langkah yang sangat dinantikan oleh mereka yang telah lama memerhatikan Proton Saga (dan Proton amnya).

Walaupun transmisi 4AT ini adalah dari Hyundai Powertech, menurut Proton, mereka telah memberikan sentuhan dan sedikit resepi mereka sendiri untuk disesuaikan dengan Saga.

Pemanduan

Seperti dinyatakan dalam video, perkara pertama ingi penulis alami adalah transmisi automatik 4-kelajuan itu. Ternyata enjin rev lebih semulajadi dan setiap pertukaran gear dapat dirasa dan ini memberikan lebih kepuasan dalam pemanduan.

Adakah transmisi ini lebih menjimatkan berbanding CVT? Secara teori, CVT akan lebih lancar dan menjimatkan berbanding automatik torque converter. Proton menyatakan angka bacaan penggunaan bahan api untuk transmisi baharu ini adalah 6.7-liter untuk setiap 100km.

Kami memperoleh sekitar 7 hingga 8 liter per 100km, iaitu tidak begitu jauh. Walaupun tiada data dari CVT untuk perbandingan, keseronokan dan kepuasan transmisi automatik ini seperti lebih penting bagi penulis.

Terdapat juga gear S di bawah atau belakang gear D ini. Apa yang ia buat? Ia bukanlah 100 peratus mod Sport yang akan mengubah kalibrasi stereng, suspensi, pedal minyak dan sebagainya, tetapi hanyalah talaan lebih sporti untuk transmisi.

Ia berguna ketika pemandu memerlukan lebih tindak balas dan kuasa seperti ketika memotong, mendaki bukit atau cuba untuk meninggalkan Myvi yang “mencucuk” di belakang. Gear S ini tidaklah memberikan lebih kuasa sebenarnya, cuma ia akan mengekalkan gear rendah lebih lama dan menarik sehingga redline.

Hampir setiap kali penulis masuk ke S dari D, satu gear akan diturunkan, meletakkan rpm pada kadar lebih tinggi seterusnya mengeluarkan kuasa maksima yang terdapat di hujung rpm. Dalam gear D jika pedal minyak ditekan hingga ke lantai, enjin akan ditarik hingga 6,000rpm tetapi dalam S, enjin akan ditarik sehingga 6,450rpm.

Secara umum, padanan enjin 1.3-liter VVT dan transmisi baharu ini berfungsi dengan cukup efektif dan baik buat masa ini. Syabas, Proton!

Aspek lain yang ditambah baik termasuklah stereng dan brek. Sterengnya kini lebih ringan dan jelas terasa di pemanduan berkelajuan rendah, berguna ketika mengemudi dalam trafik dan memasuki parkir.

Brek pula kini menggunakan unit dari Persona dan Iriz. Proton berkata sistem brek baharu ini memberikan Saga 2019 jarak brek antara 1.0 hingga 1.8 meter lebih baik untuk prestasi membrek 80 hingga 0km/j berbanding Saga 2016.

Walaupun penulis paling ingin tahu prestasi transmisi, penulis paling kagum dengan tahap NVH Proton Saga ini. Ia sangat baik kerana Saga ini lebih senyap dari yang penulis sangkakan.

Di kelajuan 120 hingga 140km/j, perbualan dengan orang sebelah masih dapat dibuat dengan bersahaja tanpa perlu meninggikan suara. Semasa hujan pula, tiada langsung kedengaran titisan air di atas bumbung, hanya pada cermin depan. Terbaik.

Lagi satu ialah sistem audionya. Penulis tidaklah begitu arif mengenai aspek ini, tapi secara kasar, kualiti bunyi Proton Saga ini lebih baik dari sebelumnya dan sangat baik untuk sebuah sedan segmen-A.

Dari segi pengendalian, tidak perlu dipersoalkan lagi. Proton Saga sebelum ini sudah cukup baik tetapi kali ini Proton tetap memberikan sedikit penalaan untuk memberikan gaya pemanduan lebih mantap.

Ia terbukti di jalan lama yang penulis lalui dari Slim River hingga Tanjung Malim. Proton Saga ini memberikan kawalan badan yang sangat baik dan stabil walapun jalan kurang rata dan beralun. Kalau anda beli Saga ini dan tukar tayarnya serta rim lebih sporti, fuh pasti lebih lazat.

Kata akhir

“So bro, nak beli Saga ke Bezza?” Ini soalan yang sering penulis terima. Untuk penulis, jika anda hanya memandu dalam bandar dengan kesesakan trafik, pemanduan jarak dekat, Perodua Bezza lebih sesuai. Bezza (dan Axia) masih king untuk aspek penjimatan bahan api.

Tetapi jika ada melibatkan pemanduan jarak jauh, lebih raya, dan membawa lebih dari satu penumpang dalam kebanyakan masa, Proton Saga lebih sesuai. Ia mampu memikul lebih banyak tugas.

Jadi, adakah Proton Saga 2019 ini kereta rakyat terbaik? Penulis belum boleh pastikan kerana terlalu singkat masa yang diberi untuk mengujinya. Tetapi buat masa ini, ia sememangnya menuju ke arah itu.

 

Spesifikasi Proton Saga Premium AT

Harga: RM39,800
Enjin: 1,332cc 4-silinder DOHC, VVT
Kuasa maksima: 94 hp @ 5,750 rpm
Tork maksima: 120 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik 4-kelajuan
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), torsion beam (belakang)
Berat: 1,075 kg
Sistem keselamatan: 2 beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Hill Descent Control, Electronic Stability Control (ESC), Traction Control System (TCS) dan ISOFIX

1 KOMEN

  1. Ternyata selepas memiliki proton saga facelift ini memang memuaskan sesuai dgn harga mampu milik kualiti..Syabas Proton!!!

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here