
UMW Toyota Motor (UMWT) melangkah ke babak baharu dalam arena sukan permotoran apabila mengumumkan penubuhan TGR Racing Malaysia, pasukan perlumbaan yang bakal beraksi dalam kelas GT4 dalam 2026 Thailand Super Series, salah satu pentas perlumbaan GT paling sengit di Asia Tenggara.
Penyertaan ini membuka lembaran baharu buat Toyota Malaysia untuk mengembangkan penglibatan dalam perlumbaan GT serantau, sekali gus memperkukuh peranannya dalam memacu pembangunan sukan permotoran negara.

Penubuhan pasukan ini bersandarkan pengalaman luas dihimpun sepanjang lapan musim Toyota GAZOO Racing Vios Challenge sejak 2017, iaitu kejohanan perlumbaan one-make dianjurkan UMWT.
Dalam format perlumbaan itu, semua pemandu menggunakan jentera disediakan secara sama rata, menjadikan kemahiran, disiplin dan konsistensi sebagai penentu utama keputusan perlumbaan.

Melalui platform ini, UMWT berjaya membangunkan bakat pemandu tempatan, memperkukuh keupayaan teknikal serta meningkatkan kepakaran operasi perlumbaan.
Semua pengalaman itu menjadi asas penting ketika TGR Racing Malaysia melangkah ke peringkat seterusnya dengan penyertaan berterusan dalam perlumbaan GT di peringkat serantau.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, penubuhan TGR Racing Malaysia mewakili evolusi seterusnya perjalanan GAZOO Racing Toyota di Malaysia.
“Bagi Toyota, budaya perlumbaan bukan sekadar aktiviti kompetitif, sebaliknya teras kepada falsafah kami dalam mempertingkat mutu dan prestasi.
“Setiap penyertaan membawa aspirasi untuk mencapai standard tertinggi serta meraih kemenangan, kerana gelanggang sebenar perlumbaan menjadi penentu aras keupayaan sebenar sesebuah pasukan.

“Sejak diperkenalkan, Toyota GAZOO Racing berkembang sebagai platform yang merangsang pertumbuhan industri sukan permotoran tempatan, menyatukan komuniti perlumbaan dan memupuk bakat baharu.
“Evolusi seterusnya ini menandakan langkah kami ke arena perlumbaan GT serantau, sekali gus terus mengangkat dan menetapkan penanda aras baharu bagi sukan permotoran Malaysia,” katanya.

Penyertaan dalam kelas GT4 membuka ruang kepada pasukan untuk bersaing dalam kejohanan dikawal selia secara profesional di peringkat serantau.
Dalam persekitaran kompetitif ini, pemandu dan kru berpengalaman memiliki peluang menilai prestasi, memperkemas strategi serta menanda aras kemampuan berbanding pasukan mapan.

Kategori GT4 diperkenalkan dan dipantau oleh SRO Motorsports Group menampilkan jentera berasaskan model pengeluar diperakui mengikut piawaian teknikal ketat.
Pelaksanaan sistem Balance of Performance (BoP) pula memastikan persaingan lebih seimbang antara pengeluar berbeza, sekali gus menjadikan setiap perlumbaan benar-benar kompetitif.

Sepanjang lima pusingan musim Thailand Super Series GT4, TGR Racing Malaysia akan menampilkan barisan pelumba tempatan iaitu Shaun Thong, Weiron Tan, Nazim Azman dan Putera Adam.
Mereka akan digandingkan dengan sokongan kru teknikal serta operasi berpengalaman dari Malaysia dan Jepun, berbekalkan pengalaman puluhan tahun dalam perlumbaan peringkat tertinggi.

Program ini memberi tumpuan kepada pembinaan disiplin teknikal yang kukuh serta piawaian operasi perlumbaan tinggi ketika pasukan bersiap sedia untuk bersaing secara konsisten di peringkat perlumbaan GT serantau.
Di litar, dua jentera GR Supra GT4 EVO2 menjadi taruhan utama, yang disediakan mengikut peraturan Thailand Super Series GT4.
Dibangunkan oleh TOYOTA GAZOO Racing Europe di bawah program perlumbaan pelanggan global Toyota, versi EVO2 ini menampilkan beberapa penambahbaikan yang memberi tumpuan kepada prestasi, kebolehpercayaan dan kebolehkendalian, termasuk peningkatan prestasi brek, talaan penyerap hentak diperhalusi bagi kestabilan optimum.
Manakala sistem penyejukan dan kalibrasi ABS ditambah baik demi kawalan lebih meyakinkan.
Setiap evolusi pada jentera ini lahir dari pengalaman sebenar pasukan dan pemandu GT4 di seluruh dunia.

Kelas GT4 Thailand Super Series dipilih berikutan struktur teknikalnya yang komprehensif serta format perlumbaan tersusun selaras dengan peraturan GT4.
Kejohanan ini dianjurkan Thailand Super Series Co Ltd dan mendapat pengesahan Royal Automobile Association of Thailand di bawah peraturan Fédération Internationale de l’Automobile (FIA).
Ia menampilkan beberapa kategori utama termasuk GT3, GTM, GT4 serta kelas kereta jelajah, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara platform sukan permotoran terkemuka di Thailand.
Kejohanan ini juga menawarkan persekitaran persaingan konsisten dan profesional dengan penekanan terhadap pengurusan perlumbaan sistematik, kebolehpercayaan jentera serta kecekapan operasi pasukan.
Setiap pusingan perlumbaan merangkumi sesi latihan rasmi, kelayakan dan perlumbaan sebenar, dilaksanakan mengikut peraturan sukan ditetapkan, sekali gus memastikan standard kompetitif sentiasa terpelihara.
Bagi musim sulung ini, TGR Racing Malaysia meletakkan penekanan terhadap fasa persediaan dan pembelajaran yang sistematik.
Justeru, pendekatan berperingkat akan dilaksanakan bagi membolehkan pasukan membina asas kukuh sebelum tampil sebagai pencabar utama dalam siri berkenaan.
Usaha ini merangkumi pemindahan kepakaran teknikal dan operasi kepada tenaga kerja tempatan yang akan bekerjasama rapat dengan rakan sepasukan dari Jepun, sekali gus memperkukuh keupayaan dalaman pasukan untuk tempoh jangka panjang.
Kalendar Thailand Super Series akan bermula dengan ujian pramusim pada 22 hingga 23 April di Litar Antarabangsa Chang, diikuti pusingan pembukaan dari 21 hingga 24 Mei di litar yang sama.

Pusingan kedua dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 5 Julai sempena ulang tahun ke-20 Bangsaen Grand Prix di Chonburi.
Saingan kemudian beralih ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas bagi pusingan ketiga dan keempat, masing-masing pada 21 hingga 23 Ogos serta 18 hingga 20 September, sebelum musim melabuh tirai di Litar Antarabangsa Chang dari 30 Oktober hingga 1 November.
Maklumat lanjut mengenai aktiviti serta perkembangan pasukan akan diumumkan dari semasa ke semasa.































