Covid-19: PKPB boleh jadi PKP semula, tolong jangan pandang remeh

1433

Menerusi kelonggaran yang diberikan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak kerajaan mendapati masyarakat Malaysia seolah-olah mengambil mudah seperti tiada undang-undang terhadap perintah ini.

pkpb

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ada orang ramai mengambil kesempatan keluar beramai-ramai dan bergerak bebas, termasuk membawa anak ke pusat beli-belah dan ia sepatutnya tidak berlaku.



Beliau berkata, contohnya semalam beliau menerima video tular mengenai keadaan orang ramai di warung di Kampung Pandan dan menyangkakan ia adalah palsu.

“Jadi, saya menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum beliau mengesahkan ia adalah berita benar.

“Saya nak tekankan bahawa Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa dan apabila kita melonggarkan, rakyat mesti patut kerana bimbang kes baru akan berlaku dan kes positif Covid-19 meningkat.

“Saya beri peringatan bahawa PKPB bukan boleh terus kekal PKPB, sebaliknya ia boleh menjadi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula tertakluk kepada kepatuhan rakyat yang kini menikmati sedikit kelonggaran,” katanya.

Ismail Sabri berkata, jika berlaku ketidak patuhan, bukan mustahil, PKP Fasa 1, 2 dan 3 akan diperkenalkan semula.

Beliau berkata, jika rakyat mahu terus menikmati PKPB atau mungkin menyaksikan ia ditamatkan, semuanya bergantung kepada pematuhan rakyat.

“Pesanan saya, teruskan berada di rumah, patuh kepada undang-undang dan saranan kerajaan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here