PKPB: Ziarah pada hari pertama perayaan sahaja

1368

Kerajaan memutuskan supaya aktiviti ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri, Pesta Keaamatan dan Hari Gawai, tahun ini, dihadkan kepada hari pertama perayaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dicapai melalui mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam, dalam usaha mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) mengenai ziarah itu turut mengehadkan aktiviti saling berkunjung hanya membabitkan ahli keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang.



“Had 20 orang ini juga mengikut saiz rumah. Contohnya, jika flat berukuran 600 kaki persegi, 20 orang mungkin terlalu ramai serta tidak boleh membuat penjarakan sosial.

“Justeru, mungkin lima orang dibenarkan masuk untuk ziarah pada satu-satu masa, sehingga mencapai kuota 20 orang pada hari pertama perayaan,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, program rumah terbuka untuk tiga perayaan itu adalah dilarang, selari peruntukan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) seliaan Kementerian Kesihatan (KKM).

Meskipun kerajaan membenarkan aktiviti ziarah pada hari pertama perayaan, beliau berkata, setiap keluarga mempunyai pilihan untuk mempertimbangkan keputusan terbaik, sama ada menerima tetamu atau sebaliknya.

“Betul, kita membenarkan ziarah dan tidak melebihi 20 orang tetapi untuk menjaga kepentingan keselamatan, jika rasa kunjungan perlu dihadkan kepada keluarga dalam rumah tanpa kehadiran orang luar, ia terserah.

“Keputusan sendiri yang tentukan dengan mengambil kira beberapa faktor, khususnya apabila rumah kita ada golongan berisiko seperti warga emas yang terdedah kepada risiko jangkitan jika orang luar datang bertandang.

Mengambil contoh satu insiden di Bahrain, Ismail Sabri berkata, seisi keluarga membabitkan 16 orang didapati positif Covid-19 selepas mengadakan majlis iftar di kediaman mereka.

Beliau berkata, insiden penularan seumpama juga direkodkan di New Jersey membabitkan empat sekeluarga yang berdepan nasib lebih malang apabila berlaku kematian akibat Covid-19 selepas mengadakan jamuan makan.

“Walaupun kebenaran diberikan, iaitu boleh beraya dengan keluarga, kita sendiri yang harus mengambil inisiatif untuk menjaga keselamatan keluarga,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here