10 Proton edisi terhad yang anda wajib tahu!

20553

Seperti yang kita semua tahu, Proton ialah syarikat automotif nasional pertama Malaysia dan ditubuhkan pada 1983.

Ia telah melancarkan kereta pertamanya, Proton Saga pada 1985 dan baru semalam, Proton melancarkan pula Saga Anniversary Edition sebagai menyambut ulangtahun ke-35 kelahiran kereta itu.



Sejak 1985, lebih 1.8 juta Proton Saga dan lebih 4 juta unit kereta telah dikeluarkan oleh Proton, merangkumi pelbagai model. Antaranya adalah Iswara, Wira, Tiara, Satria, Juara, Waja, Gen2, Savvy, Satria Neo dan Persona.

Beberapa model juga turut dieksport ke negara-negara luar seperti Australia, Taiwan, beberapa negara Timur Tengah, dan beberapa negara di Eropah.

Namun dari semua model tersebut, ingin kami kongsikan variasi edisi terhad yang pernah Proton keluarkan, dan yang kami rasa anda patut tahu.

1. Proton Saga Knight

Model ini diasaskan dari Proton Saga Aeroback dan dikeluarkan pada 1989. Nama unik itu diambil dari rancangan TV popular pada masa itu, iaitu Knight Rider.

Proton Saga Knight boleh dikenalpasti melalui pelekat badan unik tiga warna (oren, merah dan kelabu) berserta tulisan KNIGHT padanya. Ia turut mendapat lip depan dan spoiler duck tail diperbuat dari getah.

Disebabkan nama istimewa, enjin pun mestilah ada umph, bukan? Saga Knight dikuasakan enjin Magma 8V 4G15 yang menjana kira-kira 75hp dan 127Nm tork.

2. Proton Saga LMST

Mendapat jolokan nama “Saga kereta kebal” kerana bentuknya yang terlalu bersegi dan ringkas, kami tetap merasakan Proton Saga LMST ini wajar masuk dalam senarai ini.

Antara sebab utamanya ialah ia sangat seronok dipandu, dengan pedal dan gear manual yang terasa sangat serasi.

Penulis pernah memandu Saga LMST kawannya kira-kira 10 tahun lepas, dan paling penulis sukakan selain keserasian pedal dan gear, ialah bunyi yang sangat merdu dan sporti! Ya, Saga ini mendapat ekzos catback R3!

Ia hadir dalam tiga pilihan warna – Sunrise Orange, Black dan Silver. Dikeluarkan sekitar 2003 hingga 2008, Saga ini dipacu oleh enjin 1.3-liter 4G13 dengan 90hp dan 110Nm tork.

3. Proton Iswara Aeroback Special Edition

Versi ini mempunyai resepi hampir sama dengan Saga LMST, menjadikan Iswara ini lebih sporti dan seronok dipandu.

Antara ciri unik pada Iswara ini adalah lampu depan kristal, gril baharu, roda stereng sporti, tombol gear aluminium, skirting belakang unik, lampu belakang kristal dan tempat duduk “ala rali”.

4. Proton Wira 1.5 SE Special Edition

Kini kita ke Proton Wira pula. Edisi SE ini datang dengan penggayaan bampar depan baharu, serta warna istimewa Merah dan Hitam.

Bagi kami, Wira ini adalah antara edisi paling memfokus kepada kepuasan pemanduan, dan bukan kuasa semata-mata.

Ini disokong oleh kemasan luar lebih aerodinamik, tempat duduk berkontur lebih sporti, spring sport, panel meter sporti, tombol gear aluminium, pedal aluminium, spoiler GT, ekzos sport, dan rim 16-inci berspesifikasi GTi.

Oh ya, ia mendapat brek cakera depan dan belakang! Nampak serius tu.

Wira SE ini ditawarkan dengan enjin 1.5-liter 4G15P SOHC, menghasilkan sekitar 88hp dan 120Nm tork.

5. Proton Wira 1.6 Millennium dan Thomas Cup Edition

Proton Wira seterusnya adalah 1.6 Millennium dan Thomas Cup Edition. Ia bukan paling sporti, tetapi bagi kami, anatara paling cantik dan elegan.

Versi 1.6 Millennium ialah model Aeroback dengan warna Lake Green metalik istimewa yang dikeluarkan sebagai tanda memasuki era Millennium pada masa itu.

Versi 1.6 Thomas Cup Edition pula ialah model sedan dengan warna Ocean Blue pekat metalik, dikeluarkan sempena kemenangan Malaysia dalam Piala Thomas dan ia dilancarkan oleh penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Antara ciri yang dikongsi antara Wira Millennium dan Thomas Cup Edition adalah stereng balutan kulit, tempat duduk kulit, skirting badan istimewa, antenna getah “bee sting”, lampu depan lebih gelap, jaluran badan di sisi, dan rim rekaan baharu.

6. Proton Wira 1.8 PERT

Satu lagi Proton Wira yang wajar anda tahu ialah versi 1.8 PERT. Ianya seperti gabungan Millennium dan Thomas Cup Edition; mendapat warna Lake Green tetapi dengan badan sedan.

Menariknya, Wira PERT ini dijana oleh enjin 1.8 EXi, tetapi versi PERT ini berlainan dengan Wira 1.8 EXi DOHC C99 Limited Edition dengan spoiler “tiang gol” ya.

Wira PERT ini rupanya lebih “baik” dan “jinak” berbanding Wira tiang gol itu.

6. Proton Satria R3

Seterusnya, kita pergi pula ke model dua pintu, dan kita mulakan dengan Satria R3. Mungkin semua sudah tahu akan Satria GTi, tetapi Satria R3 ini lebih istimewa dan kerana lebih terhad (hanya 150 unit) dan lebih hardcore.

Berbanding GTi yang dilancarkan pada 1998, Satria R3 pula diperkenalkan pada 2004. Ia mendapat kemasan badan seperti GTi, tetapi bukan berwarna Silver, sebaliknya hanya hadir dengan warna Incognito Black dan dihiasi pelekat badan halus R3 berwarna merah.

Casis dan badan Satria R3 ini dicantum dengan kimpalan berganda berbanding GTi, memberikannya badan lebih teguh. Ini digandingkan pula dengan suspensi yang dibangunkan dan ditala oleh pasukan R3 menjadikan kereta ini lebih suka berada di litar atau gymkhana berbanding di jalanraya biasa.

Seterusnya, enjin ialah unit sama dari GTi iaitu 4G93P 1.8-liter, dengan sistem pengurusan Siemens EMS 400 serta sistem ekzos yang dipertingkat (sebab itu hanya satu muncung dan bukan berkembar seperti GTi).

Brek pula adalah dari jenis prestasi berserta cakera ditebuk. Padanan enjin dan brek ini memberikan Satria R3 prestasi memecut dan membrek terbaik untuk mana-mana model Proton.

Ciri lain pada Satria R3 adalah spoiler belakang gentian karbon, roda stereng Momo, tempat duduk Recaro, dan tali pinggang keledar berwarna merah.

7. Proton Satria Neo Clubsport

Untuk pengganti Satria pula, Satria Neo dihasilkan dalam beberapa versi dan edisi terhad. Sudah tentu paling popular adalah Satria Neo R3, R3 RS dan R3 Lotus Racing.

Yang kami nak ketengahkan di sini ialah Satria Neo Clubsport kerana beberapa sebab. Hanya 25 unit pernah dihasilkan, untuk pemilik-pemilik terpilih dan kerana ia sedia dibawa untuk perlumbaan sebaik sahaja anda membelinya.

Ini kerana Satria Neo Clubsport dilengkapi komponen seperti ECU dan ekzos perlumbaan, suspensi coilover, roll-cage (sangkar guling) enam-poin yang diluluskan FIA, pin bonet, pintu but belakang dengan klip, cangkuk tunda, dan tayar Bridgestone Potenza RE001.

Bahagian lain adalah sama dengan Satria Neo 1.6 manual biasa, cuma enjin S4PH CamPro itu ditala menjadi 137hp berbanding enjin asal berkuasa 110hp.

Selain itu, tempat duduknya adalah jenis perlumbaan, iaitu Recaro TS-G, lengkap dengan tali pinggang keledar jenama itu. Terdapat juga komponen R3 seperti splitter depan, spoiler bumbung dan rim 15-inci.

8. Proton Chancellor

Pada persidangan ASEAN Summit 2005, Proton telah mengumumkan mengenai model Chancellor. Ia mempunyai rupa depan dan belakang seperti Proton Waja, tetapi dengan wheelbase lebih panjang iaitu 2,850mm (berbanding 2,600mm pada Waja).

Proton Chancellor bukanlah sekadar model Waja yang dipanjangkan, tetapi menurut Proton, ia sebuah model yang dibangunkan semula. Ia mendapat enjin 2.0-liter V6 dari Perdana V6.

Chancellor disasarkan untuk kegunaan pegawai kerajaan, eksekutif dan korporat. Ia didatangkan dengan kemasan mewah termasuklah pemain DVD.

9. Proton Waja MME Edition

Proton Waja MME Edition merupakan edisi khas yang dilancarkan sebagai sambutan ke atas kemenangan pasukan Proton R3 Amprex yang berlumba dengan jentera Lotus Exige 300R.

Hanya 200 unit dihasilkan, dan datang dengan warna istimewa Deep Burgundy dan transmisi manual sahaja.

Ciri lain adalah rekaan bampar depan dan belakang baharu, lampu depan projektor HID Xenon (yang pertama untuk Proton), tombol gear R3, karpet R3, kabel plug prestasi, ekzos R3, rim R3 16-inci, brek cakera R3, dan pemain CD dengan Bluetooth dan MP3.  

10. Proton Gen2 MME Edition

Akhir sekali, Proton Gen2 MME yang juga dilancarkan serentak dengan Waja MME atas tujuan yang sama.

Gen2 MME juga turut dikeluarkan sebanyak 200 unit sahaja, dan sama seperti Waja MME, ia turut mendapat beberapa komponen prestasi.

Ini termasuklah rekaan bampar depan dan belakang baharu, tombol gear R3, ekzos R3, rim R3 16-inci, kabel plug prestasi, dan brek cakera R3.

Kedua-dua Waja MME dan Gen2 MME dikuasakan oleh enjin CamPro 1.6-liter yang telah ditala menjadi 122hp (12hp lebih dari CamPro biasa).

Dari kesemua 10 model edisi terhad ini, yang mana paling anda minati? Sanggupkan anda beli salah satu hari ini untuk koleksi?

Kredit gambar: Protonjohor.com, Mudah.my, Paultan.org, Facebook (Hye Rits, Nano Eddy, Sahabat Wira Malaysia), Wikipedia, kereta.info, Funtasticko, dan Zerotohundred.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

1 KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here