Mercedes-AMG GT Black Series ialah model paling berkuasa pernah dihasilkan, ini 9 perkara menarik mengenainya!

2412

Mercedes-AMG GT Black Series telah dilancarkan secara global malam tadi, jam 8 malam waktu Malaysia.

Ia merupakan versi lebih hardcore untuk AMG GT R, dan meletakkannya lebih hampir dengan jentera lumba GT4 daripada kereta jalanan. Tetapi AMG GT Black Series ini tetap anda boleh beli dan pandu di jalan raya.



Barisan jentera Black Series dari keluarga AMG, dari paling awal hingga yang terkini.

Model ini juga merupakan kesinambungan dari keluarga Black Series, iaitu satu kelompok lebih elit dan eksklusif dalam keluarga AMG. Bukan semua model AMG mendapat lencana dan penarafan Black Series ini.

Jadi, apa special sangat dengan Mercedes-AMG GT Black Series ini? Jom lihatkan 9 perkara yang kami ingin kongsikan.

1. Model dengan enjin V8 paling berkuasa dalam sejarah Mercedes-AMG

Betul-betul di depan kokpit pemandu ialah enjin AMG V8 4.0-liter biturbo dengan pelinciran dry-sump. Enjin ini menjana 730hp pada 6,700-6,900rpm dan 800Nm tork pada 2,000-6,000rpm.

2. Enjin flat plane

Kebiasaannya enjin V8 menggunakan konfigurasi cross plane atau flat crankshaft (flat plane) untuk susunan aci engkolnya. Dan ini pastinya memberikan perbezaan dari segi karakter, cara penghantaran kuasa dan bunyi enjin itu.

Tidak seperti enjin V8 Mercedes-AMG sebelum ini yang menggunakan cross plane, AMG GT Black Series ini menggunakan aci engkol flat plane.

Dengan susunan pembakaran silinder 1-8-2-7 4-5-3-6, gema dari enjin ini meningkatkan prestasinya dan paling penting, sangat responsif. Ini berguna untuk pemanduan prestasi tinggi seperti di litar.

3. Prestasi tinggi, pecutan 0-200km/j dalam 9 saat

Enjin tadi dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift DCT 7G iaitu unit dwi-klac 7-kelajuan. Kuasa dihantar ke roda belakang.

Dengan itu, Mercedes-AMG GT Black Series mampu memecut dari 0-100km/j dalam 3.2 saat, dan lebih menarik lagi, mencapai 200km/j kurang dari 9 saat! Kelajuan maksima pula ialah 325km/j.

4. Ciri aerodinamik jentera lumba

Seperti dikatakan tadi, Mercedes-AMG GT Black Series ini sangat mirip seperti jentera AMG GT4. Ia mendapat ciri aerodinamik yang memberikannya kestabilan dan cengkaman pada kelajuan tinggi sama ada di laluan lurus atau selekoh.

Ciri-ciri ini adalah radiator lebih besar, ruang kemasukan udara untuk brek, air curtain untuk aliran ke roda dan menambah downforce, splitter depan boleh-laras (Street dan Race), bonet depan dengan dua rongga udara besar, slot udara di belakang tayar, dan aerofoil belakang.

5. Suspensi AMG boleh-laras

Mercedes-AMG GT Black Series didatangkan dengan suspensi double-wishbone dari dunia perlumbaan dan digandingkan pula dengan spring boleh-laras coil-over dari AMG.

Melalui sistem AMG Ride Control, ia mengawal penyerapan secara elektronik dan menyesuaikan dengan keadaan jalan semasa.

Pemandu juga boleh memilih mod dari AMG Dynamic Select iaitu Comfort, Sport dan Sport Plus untuk disesuaikan sama ada kegunaan jalan biasa atau litar.

6. Gentian karbon

Seperti biasa, jentera lumba yang hardcore mestilah ringan dan salah satu cara mencapai matlamat ini ialah dengan penggunaan bahan gentian karbon.

Antara komponen gentian karbon pada jentera ini adalah tiub tork (propeller shaft) dari enjin ke transmisi, drive shaft, spoiler belakang, bumbung, panel badan, dan tail gate belakang.

7. Spoiler atas spoiler

Kedengaran kelakar? Tetapi memang ya, terdapat spoiler di atas spoiler AMG GT ini. Di belakangnya terdapat spoiler gentian karbon seperti bentuk GT wing, tetapi di permukaan spoiler itu terdapat satu lagi spoiler aktif.

Aerofoil aktif ini dikawal menggunakan AMG Dynamics dengan empat tetapan iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master. Aerofoil ini akan mengoptimakan kestabilan pada kelajuan tinggi, prestasi membrek dan membelok.

8. AMG Traction Control

Untuk kegunaan di litar, terdapat AMG Traction Control yang boleh dikawal dengan satu tombol yang boleh dipusing ke kiri atau kanan. Terdapat 9 tetapan yang akan mengawal tahap slip pada gandar belakang.

Ini akan melaras bantuan ESP bergantung kepada citarasa dan keperluan pemandu. Memang seperti jentera lumba sebenar!

9. AMG Track Package

Tak cukup hardcore dan motorsport lagi? Maka anda boleh pilih AMG GT Black Series anda dengan AMG Track Package.

Apa yang anda dapat dari pakej ini adalah roll cage (sangkar guling) titanium, tali pinggang keledar 4-poin, dan pemadam api 2kg.

Apa pendapat anda mengenai AMG GT Black Series ini? Padu ke tak padu?

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here