Harga Nissan Almera 2020 diumumkan: RM80k hingga RM91k sahaja!

2284

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) pagi ini telah mengumumkan harga rasmi untuk Nissan Almera serba baharu.

  • Almera VL: RM79,906
  • Almera VLP: RM85,715
  • Almera VLT: RM91,310

Senarai di atas adalah harga atas jalan tanpa insurans, untuk Semenanjung Malaysia.



Jaminan perbatuan tanpa had kenderaan selama 5 tahun hadir sebagai standard pada semua varian Nissan Almera Turbo serba baharu, bersama servis penyelenggaraan percuma sebanyak 5 kali (berselang-seli) termasuk alat ganti dan kos buruh dalam tempoh 5 tahun.

ETCM turut menawarkan pakej sewa beli istimewa melalui Promosi Pembiayaan Flexi seperti berikut:

  • Almera VL: RM688 sebulan
  • Almera VLP: RM738 sebulan
  • Almera VLT: RM788 sebulan

*Berdasarkan kepada harga On-the-road Semenanjung Malaysia dengan jumlah pinjaman 90%, tempoh pinjaman selama 9 tahun dan sah sehingga 31 Disember 2020.

Bukan itu sahaja, pelanggan yang membeli insurans daripada Tan Chong Insurance Business Stream (TCIBS) untuk Nissan Almera Turbo serba baharu mereka akan menerima Perlindungan Kemalangan Peribadi (PA) dengan jumlah diinsuranskan sehingga RM75,000*, bayaran perlindungan Key Care sehingga RM1,500* dan elaun Bantuan Banjir sehingga RM1,500*.

Bergantung kepada varian, Nissan Almera dilengkapi rekaan gril V Motion, lampu depan halogen atau LED sepenuhnya, lampu belakang LED dengan lampu kabus, panel instrumen Gliding Wing, stereng flat-bottomed, papan pemuka dibaluti kulit, paparan instrumen 7-inci, dan paparan infotainmen di tengah sebesar 8-inci.

Enam warna ditawarkan untuk Almera serba baharu: Radiant Red (baharu), Monarch Orange (baharu), Dark Metal Grey (baharu), Brilliant White, Diamond Black dan Tungsten Silver.

Mari kita lihatkan beberapa perkara penting yang anda perlu tahu mengenai pesaing Toyota Vios dan Honda City ini:

1. Model serba baharu sepenuhnya

Nissan Almera 2020 ini merupakan model serba baharu sepenuhnya, dan telah berada di pasaran dunia seperti di Amerika Utara dan Mexico sejak tahun lepas.

Malaysia merupakan negara kedua di rantau ASEAN menerima model ini selepas Thailand.

2. Enjin 1.0-liter turbo 3-silinder

Seperti yang dijangkakan, Nissan Almera 2020 memang hadir dengan enjin 1.0-liter turbo 3-silinder baharu. Unit ini menghasilkan 100hp pada 5,000rpm dan 152Nm tork pada 2,400-4,000rpm. Kuasa ini adalah bersamaan dengan enjin 1.3-liter naturally-aspirated.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT Xtronic generasi terbaharu dengan D-Step Logic System dan mod Sport.

3. Penggunaan bahan api menjimatkan

Almera mempunyai tangki bahan api berkapasiti 35 liter dan Nissan mendakwa ia mempu dipandu sejauh 650km (menurut kitaran NEDC R101). Ini bersamaan dengan 18.6 km/liter, satu angka yang agak baik.

4. Teknologi enjin dari Nissan GT-R

Tahukah anda Nissan Almera ini mendapat satu teknologi enjin dari Nissan GT-R R35? Enjin 1.0-liter 3-silinder turbo ini menggunakan teknologi saduran cermin dalam dinding silinder. Ini akan mengurangkan geseran dan tahap kehausan antara gelang omboh dan dinding silinder.

5. Struktur badan lebih teguh

Untuk Almera ini, Nissan telah mengkaji dan menambahbaik penggunaan dan kekuatan pada beberapa bahagian struktur badan. Bersama dengan sistem suspensi, ini akan memberikan kawalan pemanduan lebih baik.

6. Suspensi belakang ditambahbaik

Bercakap mengenai suspensi, trailing-arm untuk suspensi belakang Nissan Almera ini telah ditambahbaik penggunaan bahannya untuk mengurangkan olengan badan (body roll).

7. Dimensi badan lebih dinamik

Dengan ukuran panjang 4,495mm, lebar 1,740mm dan tinggi 1,460mm, Nissan Almera serba baharu ini lebih panjang, lebih lebar dan lebih rendah berbanding sebelumnya.

Perubahan dimensi ini juga lebih kurang sama dengan Honda City serba baharu.

8. Lipatan 60:40 secara standard

Satu ciri praktikal pada Nissan Almera baharu ini ialah lipatan tempat duduk belakang 60:40 secara standard. Ini pasti memudahkan anda membawa muatan panjang dan besar.

9. Ciri keselamatan terkini secara standard

Juga menarik untuk Nissan Almera serba baharu ini ialah kelengkapan keselamatan terkini yang cukup menyeluruh diberikan.

Almera secara standard dengan Intelligent Forward Collision Warning, Intelligent Forward Emergency Braking, Vehicle Dynamic Control, Traction Control System, Anti-lock Braking System, Brake Assist, Electronic Brake Force Distribution, dan Hill-Start Assist.

Walaubagaimanapun, enam beg udara hanya untuk VLP dan VLT, manakala varian VL hanya dua beg udara.

10. Varian tertinggi mendapat ciri tambahan

Ciri keselamtan tambahan ditawarkan khas untuk varian VLT yang merangkumi Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Intelligent Around View Monitor.

Jadi, apa pendapat anda mengenai Nissan Almera setakat ini? Antara Almera, Honda City, Mazda 2 dan Toyota Vios, mana jadi pilihan anda?

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here