Tengku Permaisuri Selangor sumbang motosikal kepada rider FoodPand wanita ini

1973
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan peribadi berupa sebuah motosikal kepada saudari Nur Athirah Abdul Latiff yang baru sahaja ditimpa musibah apabila motosikalnya dicuri ketika sedang melakukan kerja penghantaran makanan di Batu Caves, Selangor.
 
Baginda berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang Nur Athirah.
 
Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.
 
Nur Athirah yang merupakan anak kedua dari tiga beradik tinggal bersama ibunya di Batu Caves kini bertindak selaku penyara keluarga dengan melakukan kerja penghantaran makanan sepenuh masa.
 
DYMM Tengku Permaisuri Norashikin berharap dengan sumbangan ini Nur Athirah akan dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga.
 
Titah Baginda lagi, di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini, Baginda amat berharap agar masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain.
 
Baginda turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah S.W.T.
 
Sebelum ini, nasib malang menimpa seorang penghantar makanan apabila motosikal yang digunakan untuk mencari rezeki hilang dalam satu kejadian di sebuah pasar raya di Batu Caves.
 
Dalam kejadian 2 petang baru-baru ini, wanita berkenaan dipercayai ingin mengambil makanan untuk dihantar dan meletakkan motosikal di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, apabila kembali semula ke kawasan parkir, dia mendapati motosikal Yamaha 135LC miliknya hilang. Motosikal yang baru sahaja dibeli tiga bulan yang lalu itu dipercayai dicuri oleh dua orang lelaki.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan motosikal itu dan kini sedang mengesan saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi mengenal pasti suspek.

Rata-rata warganet simpati akan nasib yang diterima wanita tersebut, kerana motosikalnya itu digunakan untuk mencari rezeki.



APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here