Honda mungkin keluarkan pengganti S2000?

1304

Jika berita yang kami dengar ini sahih, Honda mungkin dalam perancangan menghasilkan pengganti kepada S2000. Ya, Honda S2000 roadster sport yang lejen itu.

Kereta generasi baharu itu akan dilancar pada 2024, iaitu 25 tahun selepas S2000 original yang diperkenalkan pada 1999. Pengenalan Honda S2000 asal merupakan sempena ulangtahun ke-50 Honda, maka pengganti S2000 boleh menjadi sempena meraikan ulangtahun ke-75.



Laporan yang diperkatakan tadi adalah dari Forbes dan dipetik oleh Autoblog, yang mana “menurut sumber rapat dengan Honda”, syarikat itu sedang “betul-betul mempertimbangkan” variasi baharu S2000.

Forbes juga mengulas lebih lanjut, mengatakan kereta baharu itu akan mempunyai rekabentuk dan resepi serupa dengan yang asal, menggunakan aluminium dan gentian karbon untuk memastikan berat yang rendah.

Kini untuk enjin pula. Laporan itu berkata Honda sedang mempertimbangkan untuk menyumbat enjin 2.0-liter VTEC Turbo versi 350hp seperti pada Civic Type-R. Jika ini menjadi realiti, kita akan melihat enjin itu digunakan secara longitudinal (menegak) untuk pertama kali.

Walaupun kedengaran menarik, kita juga perlu skeptikal. Ya, berita mengenai pengganti S2000 telah kedengaran sejak kereta asal itu dihentikan pengeluarannya pada 2009.

Honda pula tidak berapa berkenan untuk berkongsi teknologi atau membuat kerjasama dengan syarikat lain seperti Toyota-Subaru atau Mazda-Fiat untuk mengurangkan kos.

Honda Civic Type-R FK8 untuk pasaran Malaysia menjana 310PS dan 400Nm, dan dijual pada harga sekitar RM310,000. Dengan pakej yang agak premium itu, ditambah dengan penukaran FWD kepada RWD, bumbung convertible, kita boleh jangkakan S2000 baharu pasti jauh lebih mahal.

Dan satu aspek lagi, transmisi manual 6-kelajuan yang sangat padu dalam Civic Type-R itu. Tetapi ia tidak boleh ‘dialih’ terus kepada konfigurasi RWD S2000, jadi kotak gear baharu perlu dibangunkan sepenuhnya. Dan ini akan ditambah kepada kos.

Honda S2000 asal sangat dikenali dan digemari bukan sahaja kerana pengendalian dan bunyi yang mantap, tetapi enjin F20C dan F22C1 yang mempunyai nisbah kuasa-kepada-sesaran tertinggi di dunia pada masa itu.

Enjin itu juga mampu ‘ditarik’ sehingga menghampiri 10,000rpm, menjadikan sensasi pemanduan S2000 ini ‘lain macam’.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here