Covid-19: KKM berpuas hati pematuhan SOP pengguna perkhidmatan awam

860

Delegasi pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam dan langkah pencegahan dilaksanakan di LRT Laluan Ampang/Sri Petaling.

Ketua Pegawai Kesihatan Kawasan Cheras, Dr Noriah Hajib yang melakukan tinjauan bersama 15 anggota semalam, turut memberi penerangan dan kempen kesedaran kepada penumpang ketika di dalam tren dan di stesen Cheras, Bandar Tun Razak dan Bandar Tasik Selatan.



Ketua Operasi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Harman Hamzah yang mengiringi delegasi itu, turut memberi penerangan kepada Dr Noriah dan anggota pasukannya mengenai langkah pencegahan dilaksanakan oleh pihak pengurusan, termasuk mewajibkan anggota barisan depan memakai pelindung muka ketika bertugas dan berurusan dengan para pelanggan.

“Program ini kami jalankan selaras dengan saranan kerajaan dengan slogan #kitajagakita. Justeru, pihak Operasi Laluan Ampang/Sri Petaling menerima pelawaan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Cheras untuk berkolaborasi membuat sesi kesedaran serta pemeriksaan terhadap penumpang di sekitar daerah Cheras dan juga di dalam tren,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SOP perkhidmatan awam

Beliau berkata, rata-rata penumpang responsif terhadap penerangan yang diberikan oleh Dr Noriah dan pasukannya, di samping patuh dengan keperluan pemakaian topeng muka dengan kemas serta melaksanakan secara kendiri penjarakan sosial ketika berada di dalam tren.

“Dr Noriah turut berharap, usaha diambil pihak pengurusan Rapid Rail khususnya LRT Laluan Ampang dan kerjasama dengan KKM menjadi contoh kepada syarikat korporat lain, khususnya operator pengangkutan awam bagi menyuntik kesedaran dalam kalangan penumpang dan orang awam bahawa bagi menghentikan penularan ini perlu hadir dari semua pihak.

“Pengamalan norma baharu ini perlu berterusan bagi memastikan penularan ini dapat diputuskan,” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here