MASkargo bakal guna pesawat dengan livery Jalur Gemilang untuk bawa vaksin

1571

MASkargo akan menggunakan pesawat Airbus A300-300 milik Malaysia Airlines (MAS) dengan livery Jalur Gemilang untuk menerbangkan vaksin Covid-19 pada Ahad ini.

Pesawat itu akan membawa 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech untuk penghantaran pertama ke Malaysia menjelang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa bermula 26 Februari ini.



Ketua Pegawai Operasi MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) Mohd Zulkefly Ujang berkata, “Pemilihan pesawat itu adalah simbolik yang melambangkan vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia.

“Kita ada banyak pesawat dengan livery tertentu seperti Harimau Malaya, jadi pemilihan pesawat ini sudah tentunya kerana ada Jalur Gemilang untuk tunjukkan yang ini adalah untuk rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

MASkargo ialah cabang kargo Malaysia Airlines Bhd dan diberi tanggungjawab menyelaras proses penerimaan vaksin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mohd Zulkefly menambah bahawa tiada pengubahsuaian perlu dilakukan terhadap pesawat penumpang tersebut bagi membawa vaksin berkenaan kerana hanya bahagian kargo pesawat akan digunakan bagi tujuan tersebut.

Katanya, sejak pandemik Covid-19 melanda, banyak pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo bagi memastikan hubungan perdagangan dengan negara luar dapat dilaksanakan.

“Ketika pandemik penumpang tiada. Oleh itu, kita laksanakan alternatif digelar P2C iaitu penumpang kepada kargo yang mana pesawat penumpang membawa peralatan seperti kit ujian Covid-19, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan pelitup muka,” katanya.

Mengenai lokasi ketibaan vaksin, Mohd Zulkefly berkata persiapan rapi sedang dijalankan di Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA bagi memastikan proses penerimaan berjalan lancar.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu, memaklumkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di Ahad ini.

Muhyiddin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here