BMW X3 sDrive20i dilancar di Malaysia – Enjin TwinPower Turbo dengan 184hp

1117

BMW Malaysia kini memperkenalkan ahli baharu dalam portfolio Sports Activity Vehicle (SAV) premium bersaiz sederhana mereka, iaitu BMW X3 sDrive20i.

BMW X3 sDrive20i

Jentera ini kini dilengkapi dengan aplikasi My BMW App yang baharu untuk menaik taraf interaksi digital antara pemandu dan kenderaan.



Dari segi penampilan, BMW X3 sDrive20i hadir dengan gril ‘kidney’ dan pakej xLine, selain digabungkan dengan lampu hadapan LED berserta Extended Contents yang meliputi lampu isyarat. Selain itu, roda aloi ringan 19-inci turut disertakan, bersama dengan tayar runflat.

Perincian tubuh jentera ini diserlahkan dalam material aluminium, selain turut menampilkan BMW Individual Exterior Line dan rel bumbung menggunakan Aluminium Satinated.

BMW X3 sDrive20i dikuasakan oleh enjin petrol 4-silinder TwinPower Turbo yang mampu menghasilkan sehingga 184hp pada 5,000-6,500rpm dan 300Nm tork pada 1,350-4,000rpm.

Sistem transmisi pula disediakan dalam bentuk 8-kelajuan Automatic Steptronic dengan Automatic Hold Function.

Pecutan dari 0-100km/j mengambil masa 8.2 saat, dan kelajuan maksimumnya pula ialah pada 215km/j. 

Untuk ruangan dalam, BMW X3 sDrive20i dilengkapi dengan kemasan rona hitam berglos tinggi serta kemasan trim bersorotan dalam Pearl Chrome. Selain itu, fungsi anti silau automatik pada bahagian cermin turut disertakan.

Aspek keselesaan dalam SAV baharu ini dinaik taraf melalui kerusi sport bagi pemandu dan penumpang hadapan, termasuk hamparan lantai velor, pencahayaan ambien, serta sistem penyaman udara automatik tiga zon.

Pengalaman navigasi dan maklumat hibur bertaraf premium pula ditawarkan melalui paparan kawalan 10.25 inci dengan fungsi sentuh, dipadankan dengan Panel Instrumen bermaterialkan Sensatec dan komponen kawalan dengan Galvanic Embellishers.

My BMW App yang baharu turut disediakan, dimana ia menawarkan akses mudah ke atas pelbagai perkhidmatan berjarak jauh, navigasi, dan fungsi e-mobiliti. Aplikasi ini akan menggantikan BMW Connected menjelang Julai 2021, dan kini boleh dimuat turun di telefon pintar Android dan iOS.

BMW X3 sDrive20i disediakan dalam  empat pilihan warna iaitu Alpine White, Glacier Silver, Black Sapphire, dan Phytonic Blue. Kesemua tawaran warna eksterior dipadankan dengan upholsteri Leather Vernasa berwarna hitam berserta dengan sulaman hitam.

Harga jualan bagi BMW X3 sDrive20i baharu dengan Waranti Lanjutan, Pakej Servis, dan Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah pada RM286,674.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here