Jalan raya Kelantan teruk dah macam ‘akok kedut’

2735

“Macam ni la jalan di Kelantan, cuba tengok teruk betul lubang sana-sini,” ini antara perbualan yang masih saya ingin ketika makan angin dari Besut, Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.

Rupanya rasa tidak puas hati dan geram itu turut dirasai penduduk Kelantan tambahan apabila berlakunya hujan lebat keadaan permukaan jalan akan menjadi lebih teruk.



Jalan bertar berlubang, pecah dan bertakung air tidak ubah seperti kolam adalah perkara biasa. Bukan saja berlaku di Kelantan bahkan negeri lain juga. 

Tidak dinafikan, pihak berkuasa segera menampal jalan yang rosak dan berlopak. Namun, kerana turapan yang tidak sempurna, permukaan jalan menjadi tidak rata dan bertompok-tompok sehingga mirip ‘akok berkedut’.

Menurut Utusan Malaysia, ada antara jalan tersebut kembali rosak hanya selepas beberapa ming­gu jalan berlubang ditampal atau seluruh kawasan itu diturap baharu.

Antara jalan utama yang perlu diberi perhatian serius ialah Jalan Raja Perempuan Zainab II terutama di sekitar simpang tiga menghala ke Demit, Jalan Kubang Kerian – Pasir Hor dan Jalan Pasir Tumboh – Ketereh.

Gambar hiasan

Turut rosak teruk biarpun sudah berkali-kali ditampal atau diturap baharu ialah sepanjang Jalan Maulana Khurasan iaitu laluan utama ke Aeon Mall Kota Bharu dan Terminal Bas Lembah Sireh.

Seorang petugas Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian yang enggan dikenali berkata, Jalan Raja Pe­rempuan Zainab II perlu diberi perhatian sewajarnya kerana laluan utama ke hospital.

“Perkara ini sudah lama saya perhatikan. Setiap kali hujan le­bat atau musim bah, jalan ini terutama sekitar persimpangan lampu isyarat dari Demit menuju ke HUSM selalu rosak, berlubang-lubang dan penuh kolam.

“Tidak dinafikan PBT cepat-cepat menampal jalan berlubang tersebut. Namun kerja mereka ibarat ‘melepaskan batuk di tang­ga’ kerana tidak sampai se­minggu, jalan rosak lagi.

“Lama-kelamaan jalan dah macam akok berkedut. Setiap kali melaluinya dengan laju, ambulans sampai terlompat-lompat. Akibatnya, pesakit yang kita bawa makin sakit, petugas yang tidak sakit pun boleh jatuh sakit,” katanya. 

Sementara itu, peniaga, Mohd. Faizul Rohban Ahmad, 37, berkata, fenomena jalan ‘berkolam’ dan ‘akok berkedut’ biasanya berlaku di kebanyakan lokasi tum­puan ramai termasuk berham­piran kedainya yang terletak di bulatan Pasir Pekan, Tumpat.

“Saya beri contoh Jalan Pasir Pekan – Kota Kubang Labu, setiap tahun bertakung dengan air setiap kali hujan lebat tanpa ada usaha untuk mengatasinya sedangkan ini jalan utama menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat.

“Jalan masuk ke Aeon Mall pula saya tengok tidak pernah cantik, ada sahaja lubang walaupun sebelah kediaman rasmi Menteri Besar. Kalau naik kereta kecil macam Perodua Viva, boleh bergegar otak,” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here