Utama Berita Automotif Skuter lokal Eclimo murah dan jimat, kos caj RM2 bagi perjalanan 100km

Skuter lokal Eclimo murah dan jimat, kos caj RM2 bagi perjalanan 100km

1614
Awal Disember lalu,  Eclimo dan NanoMalaysia Bhd (NMB) memperkenalkan motosikal elektrik, ES-11 dengan sistem pemantauan bateri (BMS) berstruktur nano.
 
BMS boleh memantau keadaan bateri dan menghantar makluman apabila voltan bateri menurun di samping dilengkapi dengan sistem pengesan dan perkhidmatan berdasarkan lokasi.
 
 
Sistem tersebut boleh dikawal melalui aplikasi mudah alih selain ES-11 memiliki sistem pengecasan soket palam tiga pin.
 
Pengarah Eksekutif Eclimo Sdn Bhd, Datuk Dennis Chuah berkata kenderaan elektrik mampu mengurangkan karbon dioksida dan kos.
 
“Walaupun petrol di Malaysia diberikan subsidi, tetapi kita hanya menggunakan tiga pin soket untuk pengecasan bagi 100km dengan harga tidak sampai RM2. Ia memang menjimatkan.

 
“Bagi penyelenggaraan pula, skuter elektrik tidak memerlukan minyak pelincir, spark plug atau enjin. Jadi ia bukan hanya menjimatkan elektrik tetapi juga bahagian alat ganti,” jelasnya.
 
 
Eclimo menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 450,000 jualan unit motosikal di negara ini, dan eksport ke negara-negara ASEAN.
 
Syarikat tersebut mengambil masa lima tahun untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) khususnya pada bahagian bateri sebelum ES-11 dikeluarkan.
 
Lebih penting jelasnya, teknologi yang dibangunkan dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga tujuh kilogram atau dianggarkan 2.5 tan setahun untuk setiap pengguna.
 
 
Chuah menambah menerusi inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), permintaan terhadap skuter elektrik turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
 
Harga jualan untuk versi asas bermula dari RM10,501.00 termasuk pendaftaran dan insurans, sementara versi ES-11 Pro pula bermula daripada RM14,500.
 
Dua model yang dikhususkan untuk kegunaan komersial, ES-11 Delivery dan ES-11 Utility masing-masing memiliki tanda harga RM14,500 dan RM14,700.
 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 
 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here