
Teknologi pengimbangan sendiri atau swaimbang bukanlah satu idea baharu dalam dunia dua roda.
Terbaharu, sebuah syarikat motosikal elektrik Omoway memperlihatkan produk pertama Omo-X yang menampilkan teknologi tersebut.
Malah, mereka turut mendakwa Omo-X model motosikal elektrik produksi massa pertama di dunia yang mempunyai ciri swaimbang.
Teras utama teknologi ini ialah Halo Pilot, sebuah sistem yang menggandingkan kamera, penderia radar dan perisian AI untuk membantu penunggang mengimbangkan jentera ini.
Ia beroperasi ketika kelajuan rendah atau pegun, di mana sistem elektronik akan memastikan motosikal ini tegak berdiri tanpa bantuan topang.
Malah, Omo-X juga boleh bergerak ke depan dengan perlahan tanpa bantuan penunggang, serta diseru menggunakan peranti pintar.
Antara ciri lain termasuklah sistem penderia radar trafik untuk fungsi amaran titik buta dan amaran pelanggaran, serta penderia hadapan untuk fungsi kawalan jelajah adaptif.
Menariknya, Omo-X turut merupakan model pertama di dunia yang mempunyai tiga bentuk badan berbeza iaitu Scooter Mode, Street Mode (penambahan modul kotak tengah), serta GT mode (penambahan dua kotak pannier sisi).
Perincian seperti angka kuasa kuda dan kapasiti pek bateri tidak didedahkan.
Namun, Omoway Omo-X ini boleh mencapai kelajuan 110 km/j dan jarak tunggangan sejauh 200 km mengikut data WMTC.

































