
Terdapat banyak pilihan aksesori dan kit badan yang telah dihasilkan oleh Mugen dan Autobacs untuk hot hatch popular Honda Civic Type R FL5.
Mahukan sesuatu yang lebih bergaya?
Boleh cuba lihat penawaran terbaharu daripada Liberty Walk dengan harga yang lebih berpatutan, akan tetapi masih lagi tidak semurah yang disangka.
Terdapat dua konfigurasi yang ditawarkan iaitu standard serta kit badan lebar, serta pilihan bahan gentian karbon dengan harga yang lebih mahal.
Pakej lengkap menawarkan ciri seperti bampar depan baharu dengan bukaan bawah jeriji yang direka semula, canard aerodinamik, splitter, bonet agresif dengan liang udara, serta skirt sisi yang dipanjangkan.
Versi kit badan lebar pula menambah set fender labuh (+10 mm lebar), serta louver pada panel suku hadapan untuk aliran udara yang lebih baik.
Bahagian belakang mendapat sayap tetap yang tinggi sedkit berbanding unit pada FL5, diikuti dengan diffuser belakang baharu yang lebih agresif.
Berbanding kit badan Mugen yang boleh mencecah sehingga US$100,000 (RM393,900) atau Arta GT sekitar US$85,000, kit badan Liberty Walk ini boleh didapati pada harga serendah US$8,470 (RM33,363) untuk versi FRP atau US$13,860 (RM54,595) untuk versi campuran FRP dan gentian karbon.
Versi kit badan lebar pula berharga US$11,000 (RM43,329) untuk versi FRP, dan mencecah US$16,830 (RM66,293) untuk versi gentian karbon.






























