Anda ada Honda Civic Type R FL5? Mahukan sesuatu yang lebih garang daripada Mugen?
Usah risau kerana bersempena dengan Tokyo Auto Salon 2025, Mugen bakal membawakan konsep modifikasi yang lebih ekstrem untuk dipadankan pada Civic Type R kegemaran anda.
Dibina berdasarkan konsep Group B yang diperlihatkan kira-kira setahun lalu, kit Group B pre-produksi yang lebih dramatik ini dilihat sudah pun sedia untuk dihasilkan dan disambar oleh para peminatnya.
Yang lebih mencuri tumpuan ialah hud gentian karbon yang lengkap dengan liang pengudaraan serta corong yang lebih agresif, diikuti dengan splitter gentian karbon yang cukup besar.
Selain itu, panel suku hadapan juga telah direka semula lengkap dengan kisi-kisi udara di bahagian sisi, perumah cermin sisi yang diinspirasikan daripada jentera BMW M, set roda berwarna perak serta liang udara kecil pada bahagian gerbang roda.
Melengkapkan lagi modifikasi ialah sepasang skirt sisi, diffuser yang lebih agresif serta sayap belakang kekal yang agak besar, manakala set ekzos tiga corong yang asal telah digantikan dengan set ekzos corong tunggal.
Mugen turut membawakan pakej talaan untuk Civic RS yang merangkumi splitter hadapan yang telah disemak semula, skirt sisi baharu, serta perumah cermin sisi yang agresif.
Untuk bahagian belakang, hanya spoiler lip sahaja yang diberikan untuk Civic RS.