Kapal perang pertama milik India selesai ujian laut, sebesar apa kapal ini?

5306

Pembinaan kapal pengangkut pesawat (IAC) India, Vikrant dimulakan pada 2009 sekaligus meletakkan India dalam senarai negara yang memiliki keupayaan membina kapal perang.

Buat masa ini hanya Amerika Syarikat, United Kingdom, Rusia, Perancis dan China memiliki keupayaan tersebut. Kapal pengangkut pesawat terbesar pertama India itu berlayar ke laut lepas untuk ujian penting menjelang ketibaannya ke markas Tentera Laut India Ogos ini.



Ujian terbaharu pada 9 Januari lalu adalah percubaan ketiga sejak Ogos 2021. Setelah seminggu lebih ujian laut akhirnya kapal tersebut kembali ke pelabuhan Kochi selepas selesai ujian laut pada 16 Januari lalu. 

“IAC kembali dari ujian laut yang mana sejumlah besar sistem kapal dikendalikan dan diuji dengan latihan ke atas pelbagai peralatan yang dipasang di atas kapal,” kata jurucakap.

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan, ujian laut tersebut adalah proses wajib bagi setiap IAC. Data percubaan kini akan dianalisis dengan pemeriksaan mandatori dan keseimbangan bekerja atas kapal.

Vikrant memulakan percubaan laut sulung pada Ogos 2021 selama lima hari bagi menguji  pendorongan kapal, navigasi dan operasi asas. Kemudian ujian laut kedua dijalankan Oktober 2021 (10 hari) yang melibatkan beberapa fasa ujian percubaan enjin dan penerbangan.

Vikrant yang dibina di Cochin Shipyard Limited (CSL) itu adalah hasil rekaan Jabatan Reka Bentuk Tentera Laut (DND) India. Kapal perang seberat 40,000 tan itu akan mengendalikan jet pejuang MiG-29K, helikopter Kamov-31, helikopter pelbagai peranan MH-60R dan helikopter ringan.

Kos perbelanjaan kapal perang dianggarkan sekitar Indian Rupee 23,000 crore (RM13 bilion). Untuk makluman sebelum ini India menggunakan kapal pengangkut pesawat terpakai dari Rusia.

KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN

Vikrant yang menggunakan nama kapal lama (1961-1997) Tentera Laut India itu memiliki panjang 262 meter yang mana melebihi dua padang bola sepak.

Dengan lebar 62 meter dan tinggi 59 meter, kapal itu menawarkan sehingga 2300 ruangan, 1,700 bilik kakitangan termasuk kabin khas anggota wanita dan 14 dek. 

Kapal tersebut mampu mencapai kelajuan maksimum 28 knot dengan kelajuan pelayaran 19 knot dan perjalanan enduran sejauh 7,500 batu nautika.

Menurut laporan, kuasa elektrik yang digunakan kapal tersebut boleh menerangi separuh bandar Kochi dengan panjang kabel elektrik 2,600km. Pereka kapal, Manoj Kumar berkata keluli yang digunakan bersamaan dengan tiga menara Eiffel.

Selain itu, bahagian dalam kapal turut menempatkan kompleks perubatan dengan dua ruangan pembedahan. Manakala bahagian dapur mampu memenuhi keperluan sekurang-kurangan 2000 kakitangan. Pada bahagian hangar pula boleh meletakkan 20 pesawat.

Difahamkan seramai 50 pengilang lokal terlibat dalam projek tersebut dan 40,000 pekerja bagi membina kapal tersebut. 

Di samping itu, kapal tersebut memiliki 150km paip dan 2000 injap. Bahkan, 76 peratus  material dan peralatan yang digunakan atas kapal adalah asli termasuklah 21,500 tan keluli gred khas yang dibangunkan sendiri dan digunakan pertama kali dalam kapal tentera laut India. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here