Honda Malaysia rai 1 juta unit pengeluaran dan ia adalah Honda Civic RS

1319

Honda Malaysia mencipta sejarah baharu dalam industri automotif tempatan selepas mencatatkan 1 juta unit pengeluaran kenderaan pemasangan tempatan di kilangnya yang terletak Pegoh, Melaka.

Ia bermula dengan pembinaan kilang atas tanah berkeluasan 46,534 kaki persegi yang mana mula beroperasi pada Januari 2003 dengan pengeluaran model pertamanya adalah Honda CR-V generasi kedua.

Sedekad selepas itu, Honda Malaysia membina kemudahan kilang baharu iaitu No.2 Line dengan jumlah pengeluarannya boleh mencecah 100,000 unit setahun. Kini kilang berkenaan memasang tujuh model berbeza membabitkan City, City Hatchback, Civic, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V.



Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, sudah 20 tahun Honda Malaysia ditubuhkan di negara ini dan sentiasa berkembang, selain mencatatkan pencapaian penting sejak itu. 

Pengeluaran Ke-1 Juta Unit

Menurutnya, pada Mac tahun lalu, Honda Malaysia mencapai pencapaian unit jualan ke-1 juta untuk pasaran Malaysia, dan setahun kemudian, meraikan unit pengeluaran ke-1 juta bagi model pemasangan tempatan.

“Saya mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua syarikat sekutu dan pembekal Honda atas usaha mereka untuk memastikan proses pengeluaran dan operasi rantaian bekalan berjalan lancar.

“Kami juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan padu, selain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka atas sokongan berterusan mereka,” katanya pada majlis ke-1 juta unit pengeluaran di kilang pemasangan Honda di Pegoh, Melaka.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum.

Madoka turut berkata, sokongan semua pihak membantu Honda Malaysia mencapai kedudukan No.1 dalam segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional selama lapan tahun berturut-turut sejak 2014.

Unit ke-1 juta itu adalah Honda Civic RS berwarna merah. Model itu baharu sahaja diperkenalkan pada awal tahun ini.

Civic dijana oleh enjin 1.5L i-VTEC pengecas turbo yang menghasilkan kuasa 179hp dan tork 240Nm. Tork terbaik dalam segmennya menjadikan  enjin Civic lebih berkuasa berbanding enjin 2.4 liter. Ia kemudian dipadankan dengan transmisi CVT bersama pilihan mod pemanduan ECON, Normal dan Sport. 

Setanding Kilang Honda di Jepun

Sementara itu, dalam usaha untuk menghasilkan kereta Honda berkualiti tinggi untuk pasaran Malaysia, Honda Malaysia turut melabur dalam pelbagai teknologi pembuatan terkini untuk setanding dengan kilang Honda di Jepun.

Satu pendekatan yang dilakukan oleh Honda Malaysia seperti teknologi Laser Brazing yang mencipta garis bumbung yang licin dan bersih untuk penampilan luaran yang lebih anggun.

Selain itu, teknologi Inner Frame Welding digunakan untuk meningkatkan ketegaran badan kereta, manakala Spray Polyurethane Foam mengurangkan bunyi dan getaran untuk model Honda.

Selain menggunakan teknologi pembuatan termaju untuk membina kereta, Honda Malaysia akan terus mengembangkan aplikasi teknologi e:HEV, VTEC Turbocharged, Honda SENSING dan Honda CONNECT kepada barisan modelnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here