Ducati Malaysia lancar bukan satu atau dua, tetapi enam model sekali gus

2928

Ducati Malaysia membuka tirai suku tahun kedua dengan melancarkan enam model baharu motosikal jenama Itali itu.

 



Ia menerusi model Streetfighter V2, Multistrada V2S, Panigale V2 Bayliss (1st Championship 20th Anniversary model), Streetfighter V4 SP, Scrambler Urban Motard dan Scrambler 1100 Tribute Pro.

STREETFIGHTER V4 SP

Dalam keenam-enam model itu, inilah jentera yang paling mahal selepas dijual bermula RM239,900.

Streetfighter V4 SP adalah jentera naked paling terpantas dalam kuasa nisbah berat menerusi segmennya.

Berorentsi jentera di litar menerima number eksklusif dengan warna ‘winter test’ pada jentera MotoGP.

Ia juga dilengkapi dengan komponen berprestasi tinggi membabitkan klac kering 9-cakera STM-EVO SBK, kaliper Brembo Stylema dan suspensi depan/belakang yang sama seperti Panigale V4 S serta sirip tepi gentian karbon.

Bagi fork depan, ia menggunakan Öhlins NIX30  yang boleh diubah peredam secara elektronik, manakala Öhlins TTX36 untuk bahagian belakang yang digantung pada lengan ayun tunggal aluminium. Untuk membuatkan ia lebih ringan, ia dipadankan rim Marchesini tempaan magnesium.

Prestasinya, ia menggunakan enjin Desmosedici Stradale V4 1,103cc yang menyalurkan  208hp dengan tork setinggi 123Nm.

PANIGALE V2 BAYLISS (1ST CHAMPIONSHIP 20TH ANNIVERSARY MODEL)

Jentera ini sangat istimewa kerana ia adalah versi ulang tahun ke-20 sempena menjuarai kejohanan WSBK buat kali pertama. Harganya pula dijual bermula RM136,900.

Warnanya diinspiras jentera Ducati 996 R SBK pada 2001, di mana Troy Bayliss menjuarai WSBK. Warna jentera itu berdasarkan bendera Itali iaitu merah, putih dan hijau, selain mempunyai nombor 21 yang digunakan oleh Bayliss ketika itu.

Elemen lain pada model itu ialah autograf Troy yang diterbitkan semula pada tangki bahan api bersama tandatangannya #21, dan sulaman #21 pada tempat duduk penunggang yang dilapisi dalam dua bahan teknikal dengan jahitan merah.

Ia juga lebih ringan 3kg berbanding model asas Panigale V2, selain mempunyai jarak roda lebih 2mm dan bahagian hadapan ditinggikan 5mm serta tempat duduk direndahkan 5mm.

Fork hadapan diperkuatkan Öhlins NIX30 43mm dan belakang menggunakan monoshock Öhlins TTX36 boleh laras sepenuhnya

Prestasinya, ia menggunakan enjin Superquadro V2 955cc yang menghasilkan output 153hp dengan tork 101.4Nm.

MULTISTRADA V2 S

Versi ini terletak atas daripada versi standard Multistrada V2, dan dijual pada harga RM105,900 tidak termasuk insurans.

Multistrada V2S ini adalah 5kg lebih ringan berbanding Multistrada 950 dengan didatangkan suspensi elektronik Skyhook, terdiri daripada fork serta monoshock yang boleh dilaras sepenuhnya dengan menekan butang.

Brek pula adalah Brembo, terdiri daripada cakera 320 mm berkembar dan angkup monoblok empat piston di hadapan, sementara di belakang menggunakan cakera 265 mm bersama angkup dua piston.

Ia menggunakan enjin V Testastretta 937 cc yang mampu menghasilkan kuasa 113 hp pada 9,000 rpm dan 96 Nm tork pada 7,750 rpm. 

Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan slipper clutch dan diberikan secara standard dengan quickshifter.

STREETFIGHTER V2

Model ini adik kepada Streetfighter V4 SP dan harganya juga jauh lebih murah yang dijual RM101,900.

Reka bentuk Streetfighter V2 tampak lebih padat dengan menggunakan tangki Panigale V2 dan reka bentuk lampu minimalis yang mencerminkan Streetfighter V4.

Lampu nyalaan siang (DRL) depan bentuk “V” adalah tandatangan pada model sport Ducati termasuk keluarga Panigale dan SuperSport.

Fork hadapan dipadankan jenama Showa Big Piston (BPF) 43mm boleh laras sepenuhnya, manakala Sachs boleh laras sepenuhnya untuk belakang.

Ia menggunakan enjin Superquadro V2 955cc yang menghasilkan output 153hp dengan tork 101.4Nm, selain dipadankan teknologi Quick Shift Ducati untuk menukar naik dan turun gear.

 

SCRAMBLER 1100 TRIBUTE PRO

Scrambler 1100 Tribute Pro memberi penghormatan kepada rangkaian motosikal paling ikonik Ducati pada tahun 70-an dan sempena ulang tahun ke-50 enjin kembar udara Ducati. Ia dijual bermula RM85,900.

Selain warna kuning Giallo Ocra serta kerangka Trellis serba hitam, ia menerima sentuhan corak grafik seperti motosikal lumba 70-an Ducati seperti logonya, yang dibuat oleh Giugiaro, rim spoked hitam, cermin sisi bulat serta tempat duduk coklat. 

Dipadankan rim 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, sementara tangki bahan api mempunyai kapasiti 15 liter. Semua lampu model ini adalah unit LED, dan didatangkan dengan motf ‘X’ di hadapan.

Model itu masih menggunakan enjin sama seperti Scrambler 1100 dengan padanan dua silinder V 1,079 cc yang menyalurkan 86hp dengan tork mencecah 92Nm.

SCRAMBLER URBAN MOTARD

Dalam keenam-enam model itu, Scrambler Urban Motard adalah paling murah selepas dijual bermula RM68,900.

Grafik yang digunakan menyamai konsep seperti Hypermotard 950 RVE, cuma  suspensinya sama seperti Scrambler 803 biasa, iaitu fork USD Kayaba 41 mm, serta monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban di belakang.

Ia dipasang pada rim jenis spoked yang dibaluti tayar Pirelli Diablo Rosso III bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang. 

Brek menggunakan cakera 330 mm tunggal berserta angkup empat piston di hadapan, sementara belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston – Cornering ABS diberikan secara standard.

Enjin juga masih sama, iaitu unit dua silinder V penyejukan udara 803 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 73hp dan 67 Nm tork.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here