Kongsi buat aksi ‘drift’ di media sosial, pemilik GR86 tak boleh tuntut waranti..

1162

Pemilik Toyota GR86 dan Subaru BRZ keluaran 2022 berdepan dengan masalah gasket pada bahagian enjin.

Salah seorang yang terkesan adalah pemilik Toyota GR86, Blake Alvarado yang menuntut penggantian enjin pada perbatuan 22, 160km.



Alvarado menjelaskan penutup yang digunakan sebagai gasket enjin FA24D itu tercabut dan bercampur dengan air sehingga merosakkan bearing enjin.

Bagaimanapun isu sedemikian dilaporkan berlaku di peringkat awal iaitu ketika enjin masih baharu yang dilaporkan di Amerika Syarikat dan Jepun. 

Lebih mengecewakan, Alvarado mendakwa pihak wakil jualan menolak untuk menggantikan enjin berkenaan kerana melihat beberapa imej keretanya melakukan aksi drift di sosial media.

Tindakannya itu menyebabkan waranti terbatal dengan sendiri. Bagaimanapun, Alvarado menjelaskan dia membawa keretanya untuk program ujian dan talaan pada acara pemanduan prestasi.

Dia menyangkal dakwaan bahawa menyalahgunakan keretanya dan GR86 berkenaan tidak dimodifikasi bahkan jarang melebihi kelajuan hadlaju lebuhraya.

Tambahan, Toyota mengiklankan kereta itu sebagai mainan litar bahkan memberi peluang kepada pemilik menyertai hari trek pada acara “Toyota Saturday GR86 Track Experience.” 

Walaupun begitu, program jaminan Toyota Amerika Utara mengatakan “perlumbaan” dan “penyalahgunaan” akan membatalkan waranti pemilik. 

Ini bermakna Alvarado perlu membayar AS11,000 (RM48,997) untuk penggantian enjin baharu. Lebih menyedihkan dia hanya memiliki GR86 dan terpaksa mencari penyelesaian dan memutuskan untuk membeli enjin terpakai.

Sementara itu, difahamkan Toyota sedang meneliti isu itu dan merujuk pemilik lain ke Pusat Penglibatan Jenama jika mereka menghadapi masalah yang sama.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here