Gambar hiasan

Teknologi keyless antara ciri wajib yang ada pada kenderaan moden tetapi pada masa yang sama ia mencetuskan perdebatan sama ada teknologi berkenaan selamat selepas data di Britain menunjukkan semakin banyak kereta dengan teknologi itu menjadi mangsa kecuriaan.

Menurut data daripada Kementerian Dalam Negeri Britain, lebih 100,000 kenderaan di negara itu dicuri pada tahun lalu dengan kebanyakkannya adalah kereta yang mempunyai teknologi keyless yang digunakan untuk membuka pintu dan menghidupkan enjin.

Daily Mail melaporkan, antara yang pernah menjadi mangsa adalah Presiden Persatuan Permotoran Britain dan pakar pemotoran terkenal, Edmund King.



Pada bulan Mei lalu, kereta mewah jenis Lexus milik isteri King yang berharga £55,000 (RM296,000) dicuri di kediaman pasangan itu walaupun kuncinya masih berada di dalam rumah.

Pihak berkuasa percaya, penjenayah menggunakan sejenis alat canggih untuk mengesan frekuansi pada kunci kereta yang diletakkan di dalam rumah sebelum membuat pendua untuk melarikan kenderaan tersebut.

Beberapa rakaman video daripada kamera keselamatan yang tular di media sosial menunjukkan bagaimana penjenayah mencuri kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah mangsa.

Dalam video berkenaan menunjukkan seorang lelaki meletakkan satu alat di pintu hadapan rumah untuk menguatkan frekuansi atau signal pada kunci kenderaan yang menggunakan teknologi keyless manakala seorang lagi memegang satu lagi alat pada pintu kereta.

Sistem kenderaan yang ditipu bahawa `kunci’ ada berhampiran akan membuka pintu seterusnya membenarkan penjenayah menghidupkan kenderaan.

Pakar percaya alat canggih yang digunakan penjenayah mampu mengesan frekuansi pada kunci kenderaan sejauh hampir 100 meter.

Sementara itu, King dan pakar keselamatan yang lain memberi beberapa tips keselamatan bagi menggelakkan kenderaan mereka menjadi mangsa seterusnya.

King berkata, sejak kejadian itu dia meletakkan kunci kenderaannya jauh dari pintu rumah dan membeli sarung khas yang menghalang frekuansinya daripada dikesan penjenayah.

“Anda juga boleh meletakkan kunci di dalam peralatan elektrik seperti peti ais dan ketuhar gelombang mikro bagi menghalang ia dikesan oleh alatan canggih berkenaan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here