Bas bawa 44 pelajar matrikulasi terbakar gara-gara tayar meletup

1251

Sebuah bas membawa 44 pelajar kolej matrikulasi terbakar di 35KM Jalan Raya Timur Barat dekat Hentian Titiwangsa, Gerik, Perak.

Kejadian sekitar jam 2 petang itu dipercayai berlaku apabila tayar belakang bas berkenaan meletup kemudian mengakibatkan kebakaran.

Ketika kejadian, semua pelajar Kolej Matrikulasi Kedah itu dalam perjalanan balik dari Kelantan ke Changlun bersama dua lagi bas ekspres lain secara konvoi.



Difahamkan, kebakaran berpunca daripada percikan api yang terhasil daripada tayar bas yang meletup sewaktu dalam perjalanan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Mohd Azizan Aziz berkata, kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Pemandu dan penumpang terlibat berjaya menyelamatkan diri dengan segera keluar dari kenderaan sejurus menyedari kebakaran berlaku.

Beliau berkata, kerja-kerja ‘overhaul’ turut dijalankan di tempat kejadian bagi memastikan tiada lagi unsur yang boleh mengakibatkan kebakaran berulang.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.48 petang,” katanya.

Penumpang yang terlibat akan meneruskan perjalanan ke Kedah menaiki sebuah bas bantuan yang dihantar pihak syarikat bas terbabit.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here