Ketua Pengarah LGM: Tak adil kaitkan harga getah asli dengan kenaikan harga tayar

950

Harga getah asli tidak mempengaruhi harga tayar kenderaan secara terus meskipun harga komoditi itu kini menjunam ke paras RM2.30 sekilogram.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata kenaikan harga tayar di luar kawalan LGM meskipun harga getah asli jatuh ketika ini.



“Kita tidak boleh kaitkan harga getah asli dengan tayar ken­deraan kerana yang menentukannya harga tayar adalah syarikat pengeluar tayar itu sendiri,” jelasnya yang mengulas tentang kenaikan harga tayar antara tiga hingga enam kali tahun ini.

Tambahnya, kenaikan harga tayar turut melibatkan kos yang lain dan mengaitkan dengan getah adalah tidak adil.

“Getah asli sebahagian sahaja dalam pembuatan tayar, getah yang diguna pakai sewaktu buat tayar hanya 10 ke 15 peratus sahaja, manakala tayar bas dan lori 20 ke 30 peratus dan lain adalah bukan berkaitan getah.

“Perlu kira kos logistik, upah pekerja dan bahan yang lain juga. Kami juga menghadapi kenaikan harga dari sudut ber­kenaan,” jelasnya.

Selain itu antara faktornya adalah China pengguna terbesar getah masih berada di dalam tempoh ‘lockdown’.

“Aktiviti pengilangan di China pada tahap yang rendah membuatkan permintaan getah menurun. Ini termasuk negara Eropah yang kini bergolak. Setakat ini, harga getah turun naik,” katanya. 

Pengeluaran getah asli meningkat 21.2 peratus pada Julai 2022 (36,006 tan metrik) berbanding Jun 2022 (31,369 tan metrik), perbandi­ngan tahun ke tahun me­nunjukkan pengeluarannya menurun 21.8 peratus (Julai 2021: 48,610 tan metrik).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 53,771 tan metrik pada Julai 2022 menurun 8.4 pe­ratus berbanding Jun 2022 (58,685 tan metrik) dan China terus menjadi destinasi utama berjumlah 48.1 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here