2,200 unit Chrysler 300C habis terjual dalam tempoh 12 jam

665

Chrysler menjual 2,200 sedan berprestasi 300C yang bakal dibina tidak lama lagi hanya dalam tempoh 12 jam. 

Pendedahan model itu dijalankan secara langsung di laman web jenama tersebut pada 13 September dan pelanggan yang berminat boleh mendaftar di pautan yang disediakan.



Pautan itu masih aktif walaupun sedan berprestasi itu habis terjual namun pelanggan masih boleh mendaftarkan diri pada senarai menunggu.

Ini bermakna masih ada peluang buat mereka yang tidak berjaya menempah kenderaan tersebut sekiranya ada pembeli yang membatalkan pesanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Chrysler, Chris Feuell berkata 2,000 kenderaan dikhaskan buat Amerika Syarikat dan 200 unit buat Kanada.

Kereta itu ditawarkan dalam warna Bright White, Velvet Red dan Gloss Black, dengan kaliper brek Brembo merah dan lencana 300C tiga warna baharu.

Chrysler 300C akan ditamatkan selepas model tahun 2023 dan dijual pada harga pengenalan AS55,000 (RM249,452). Penghantaran kepada pelanggan dijangkakan pada musim bunga akan datang.

Daripada segi penggayaan 300C (2023) tidak jauh berbeza dengan model 300 yang mana panel badan dan elemen pencahayaan pada fascia hujung depan adalah sama.

Gril mesh unik dengan lencana tiga warna memberikan penampilan unik bersama rim 20-inci berwarna krom hitam. 

Di bawah hud, enjin 6.4 liter aspirasi semulajadi V8 menjana kuasa 485hp dan tork 644Nm. Penghantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi transmisi automatik 8-kelajuan.

Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 4.3 saat dengan kelajuan maksimum 278kmj. Naiktaraf prestasi lain termasuklah peredam suspensi dan sistem ekzos aktif.

Dalam kabin, kerusi depan didatangkan dengan balutan kulit hitam bersama logo 300C pada penyandar. Terdapat jahitan benang perak yang menawarkan warna kontra pada kerusi, pintu, panel instrumen dan gentian karbon serta kemasan hitam piano seluruh kabin.

Sistem audio Harmon Kardon 19 pembesar suara didatangkan standard manakala skrin hiburan 8.4-inci dilengkapi dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay. 

GALERI

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here