Hadiri pengebumian Ratu Elizabeth II, Sultan Brunei pandu sendiri SL65 AMG

2955

Pemimpin dunia, orang kenamaan dan kerabat diraja dari Eropah, Asia, Afrika dan Amerika menghadiri upacara pengebumian Ratu Elizabeth II, pada Isnin. 

Istiadat Pemakaman Negara mendiang Ratu Elizabeth II di London, United Kingdom menjadi akhir dari Operation London Bridge setelah baginda mengembuskan nafas 8 September di usia 96 tahun.



Tidak ketinggalan ketibaan Sultan Hassanal Bolkiah di Lapangan Terbang Stansted bagi menghadiri upacara pengebumian berkenaan turut mencuri perhatian warga maya.

Baginda yang tiba dengan pesawat Boeing itu disambut wakil Raja Charles III, Timbalan Leftenan, Simon Brice dan Menteri Luar Negeri Kedua Brunei, Datuk Seri Setia Awang Haji Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

@azis_kurniawan1

Keberangkatan tiba baginda #sultanbrunei 🇧🇳 di #unitedkingdom 🇬🇧

♬ Lay All Your Love On Me – ABBA

Menarik perhatian, baginda tidak menggunakan pemandu sebaliknya memandu sendiri kenderaan yang disediakan di landasan lapangan terbang berkenaan.

Bagaimanapun, itu adalah pemandangan biasa bagi rakyat Brunei yang mana menurut mereka Sultan Hassanal Bolkiah gemar memandu sendiri keretanya sekitar Brunei. 

Jangankan kenderaan pacuan empat roda, baginda juga memandu pesawat peribadinya, seperti mana yang pernah tular sebelum ini apabila baginda menerbangkan Boeing 747-800 ke Lapangan Terbang Mulu. 

Bahkan baginda juga pernah menerbangkan pesawat boeing 747-800 menemui Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Sultan Brunei merupakan salah satu pemimpin negara yang mempunyai lesen menerbangkan pesawat komersial.

Melihat kepada rekaan sisi dan depan kereta sport berwarna perak itu, dipercayai baginda memandu Mercedes-Benz SL65 AMG. Bagi model 2018 harga roadster berkenaan dianggarkan sekitar AS222,000 (RM1.01 juta).

Kereta sport berkenaan dijana oleh enjin 6.0 liter V12 biturbo yang menghasilkan kuasa 630hp dan tork 1,000Nm. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 3.9 saat dengan pecutan maksimum 250kmj.

Penghantaran kuasa ke roda disalurkan menerusi transmisi AMG Speedshift Plus 7G-tronic iaitu yang pertama buat AMG. Penggunaan ekzos sport AMG baharu lebih ringan 3.2kg berbanding yang lama. 

Kebarangkalian kereta sport berkenaan salah satu koleksi kereta yang disimpan di kediaman baginda di United Kingdom. 

Terkenal dengan koleksi kenderaan paling banyak di dunia, Sultan Brunei dikatakan memiliki lebih daripada 500 model Mercedes-Benz yang mana majoritinya adalah unit istimewa.

Selain itu, sekitar dua tahun lalu juga baginda melepaskan Mercedes SL60 AMG yang dijual menerusi wakil jualan British di Surrey County. 

Mercedes SL 60 AMG Sultan Brunei yang dijual dua tahun lalu.

Model 1992 itu hanya memiliki perbatuan 9,254km dengan warna badan Agatha Grey dan kemasan kulit hitam dalam kabin.

Tentunya baginda tidak akan berpuas hati dengan model SL500 standard lalu membina semula kereta itu menggunakan spesifikasi AMG, bermula dengan enjin 6.0 liter baharu, sistem ekzos penuh sehinggalah suspensi serta brek AMG.

Kereta itu juga dilengkapi dengan kit badan generasi 1 AMG, dan satu set roda aloi yang disesuaikan dengan warna badan. 

Dikatakan bahawa hanya ada 164 R129 SL500 dibina oleh AMG dan hanya sebahagian kecil daripadanya ditawarkan dengan pemanduan sebelah kanan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here