Honda Malaysia buka pusat 3S terbesar di Kuching bernilai RM15 juta

790

Honda Malaysia membuka pusat 3S terbesar di Kuching yang dikendalikan oleh Northmont Capital.

Pusat 3S yang terletak di Petra Jaya bernilai RM15 juta itu memiliki keluasan 2,339 meter persegi dengan kemudahan dan peralatan terkini yang mematuhi piawaian Honda.



Antara kemudahan yang ditawarkan adalah 12 ruangan servis yang mampu menyelenggara sehingga 50 buah kereta sehari.

Di samping itu, tersedia sambungan Wi-Fi percuma, ruangan menunggu, pameran serta perkhidmatan mencuci kereta dan memperbaharui cukai jalan dan insurans.

Pusat Honda 3S itu terletak secara strategik di Petra Jaya yang mudah diakses oleh pelanggan di utara dan selatan Sungai Sarawak.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata tahun ini wilayah Malaysia Timur mencatatkan prestasi jualan yang memberangsangkan.

“Ia menyumbang 5 peratus kepada jumlah jualan Honda Malaysia dari Januari hingga September 2022.

“Daripada 5 peratus berkenaan Sarawak merupakan penyumbang tertinggi sebanyak 3 peratus. City ialah model yang paling dicari di Sarawak dengan sumbangan jualan sebanyak 22 peratus,” katanya.

Honda Malaysia kini mempunyai 14 pengedar di rantau Malaysia Timur dan pembukaan pusat 3S Honda tersebut meningkatkan lagi rangkaian pengedar di rantau ini. 

Bagi anda yang ingin mengetahui tentang pusat 3S berkenaan boleh hubungi  082-258 400, 082-258 500 atau 082-251 900.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here