Toyota Alphard cop parkir cas EV buat rakan

727

Isu ‘cop’ parkir sebenarnya tiada kesudahan walaupun negara semakin maju tetapi pemikiran segelintir individu masih lagi mundur kerana sikap penting diri.

Cop parkir berlaku di kebanyakan kawasan termasuk perumahan dan lot kedai. Malah di pusat beli-belah juga budaya ini menjadi satu tren yang kurang sihat.



Jika lokasi perumahan meletakkan objek sebagai ‘tanda’ manakala parkir di pusat membeli belah akan ada individu yang berdiri di dalam petak kosong.

Namun, kes ini lain pula yang berlaku apabila sebuah MPV Toyota Alphard menghadang parkir kosong yang dikhaskan buat pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Zyran Marzuki berkongsi dia cuba masuk ke ruangan parkir tersebut namun dihadang oleh sebuah kereta enjin konvensional.

“Jadi saya cuba membunyikan hon untuk memaklumkan kepadanya ingin menggunakan ruangan pengecas tersebut.

“Pemandu datang kepada saya dan maklumkan ada kereta lain mahu menggunakan pengecas tersebut kerana ruangan EV di bahagian satu lagi sudah penuh,” jelasnya dalam grup Facebook .

Bagaimanapun, Zyran memaklumkan kepada pemandu tersebut dia tiba dahulu jadi adalah adil untuk dia menggunakan ruangan cas tersebut. Pemandu Alphard itu cuba menghubungi seseorang memaklumkan situasi yang berlaku.

“Dia akhirnya dengan berat hati pergi dan memberi isyarat kepada saya seolah-olah dia menghadiahkan tempat itu kepada saya,” katanya yang turut meminta bantuan kakitangan keselamatan pusat membeli belah tersebut.

Di Malaysia adalah menjadi satu kesalahan perbuatan cop (letak kerusi/moto/kon/pasu bunga/ampaian baju, berdiri atas petak parking dan sebagainya) petak parkir yang merupakan kesalahan dibawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Undang-undang tersebut juga boleh diguna pakai di semua kawasan sama ada di tempat awam mahupun di premis swasta termasuk pusat membeli-belah. 
 
Hukuman bagi pesalah cop parkir ditetapkan di bawah Seksyen 119 yang membawa penalti tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi kesalahan seterusnya.
 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here